Saturday, May 30, 2009

Kebenaran akan terungkai 2 Jun ini - Waheeda

Jumaat Mei 29, 2009

Nekad undur diri daripada industri seni

NADA suaranya kedengaran cukup ceria, tetapi adakalanya, penyanyi dan pelakon Waheeda ini jelas gagal menyembunyikan perasaan sedihnya berdepan dengan kontroversi yang amat hebat dalam dirinya ketika ini.

Benar kata penyanyi yang popular dengan lagu Wassini ini, bukan mudah untuk menjadi 'dirinya'...apa yang ditanggung selama ini cukup berat. Dikecam sebagai perampas suami orang serta pemusnah rumahtangga adalah label yang amat dahsyat diberikan sesetengah pihak yang belum tahu hujung pangkal kebenarannya.

Tetapi, luah wanita berusia 30 tahun ini, biarlah apa saja tanggapan yang singgah terhadap dirinya. Asalkan keluarga dan kenalan rapat mengetahui kisah sebenarnya, itu sudah cukup memadai buat Waheeda walaupun tohmahan buruk akan terus berselingkar di dalam dirinya.

Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu juga nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

"Saya sudah bosan. Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya."

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Dengan keadaan sekarang yang dilihat semakin 'berapi' ini, tutur Waheeda, biarlah dia terus bersabar dengan apa yang berlaku. Apapun, kesabaran itu tetap ada hadnya, cuma katanya, biarlah masa saja yang menentukan.

Namun, luah Waheeda, dia menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya amat tertekan dengan tindakan Maizawati itu yang terus-menerus mengeluarkan kenyataan. Malah, khabar angin itu turut mengatakan Waheeda juga turut kesal dengan tindakan Akhil yang masih terus mendiamkan diri.

Akibat terlalu tertekan dengan hal ini, Waheeda dikatakan menjerit-jerit seperti orang gila sehinggakan beberapa barang di rumahnya juga habis dihempaskan kerana terlalu geram.

"Tak mengapalah. Biar mereka (Akhil dan Maiza) selesaikan. Kita tunggu saja 2 Jun ini...kebenaran akan terungkai juga," luah Waheeda dalam nada perlahan, sambil enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Katanya, buat masa ini dia lebih memberikan perhatian kepada kesihatannya yang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini.

"Sekarang ini saya tengah berubat...penyakit yang sudah lama sebenarnya saya alami. Cuma sekarang ini semakin teruk pula," ujarnya yang tidak mahu bercerita lanjut tentangnya.

Nekad tinggalkan dunia seni

Lebih setahun yang lalu, Waheeda pernah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan karier seninya sebagai penyanyi dan pelakon. Ketika itu, ramai yang merasakan keputusan tersebut dibuat oleh Waheeda gara-gara isu kononnya penyanyi ini telah berkahwin dengan Akhil.

Namun, Waheeda masih lagi dilihat terus aktif dengan aktiviti seninya sehingga hari ini. Katanya ketika itu, dia menunggu album terbarunya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum terus berundur. Dan memandangkan pada waktu itu semakin banyak tawaran yang datang, dia tidak menolaknya sementara menantikan albumnya itu siap.

Tetapi, tegasnya, dia tetap menyimpan hasratnya untuk tinggalkan bidang seni satu masa nanti.

Namun, dengan kontroversi hebat yang melanda dirinya ketika ini, kata Waheeda, dia memang nekad untuk 'bersara' dan kemungkinan besar akan terus menghentikan projek penghasilan album terbarunya itu.

"Saya sudah bosan. Dari dulu sampai sekarang macam-macam orang bercakap tentang saya. Kontroversi seperti inilah sebenarnya yang membuatkan saya ingin berhenti ketika itu. Untuk apa saya terus berada di sini sedangkan reputasi dan kredibiliti saya sudah tiada.

"Mungkin dulu saya bercakap seperti ini juga, tetapi saya tetap terus berada di dalam industri. Tetapi kini, saya rasa cukuplah apa yang saya lalui. Saya nekad untuk berhenti terus.

"Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya. Ibubapa saya juga menyarankan perkara yang sama kerana mereka tak sanggup melihat saya terus dilanda benda-benda macam ni.

"Sekarang ini saya tengah tunggu untuk selesaikan dulu projek-projek lakonan termasuklah program Cafe Akhil Hayy," kata Waheeda.

Walaupun sedar tindakannya itu tidak bermaksud akan mengakhirkan segala kontroversi yang melanda, namun kata Waheeda, 'at least' kehidupannya selepas ini mungkin akan lebih 'tenang'.

"Saya masih ada banyak benda yang boleh dibuat. Saya ingin terus lakukan kerja-kerja kebajikan. Ketika ini pun saya bertugas sebagai 'facilitator' di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID).

"Mungkin jika saya ingin siapkan juga album tersebut, saya akan buat 'senyap-senyap' saja tanpa sebarang publisiti. Siapa yang nampak album saya itu di pasaran, itu sajalah...tidak akan ada majlis pelancaran atau sebagainya," kata Waheeda yang akui dia telah merakamkan semua lagu dalam album terbarunya itu.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/5/29/mstar_hiburan/20090529145627&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...