Thursday, May 28, 2009

Azab di penjara ah long


PREMIS di tingkat bawah inilah yang dijadikan bilik kurungan oleh ah long.


SUBANG JAYA - Tiga lelaki hanya mampu mengalirkan air mata dan meluahkan kesyukuran sebaik mereka diselamatkan dari kurungan di sebuah bilik sebesar bilik tandas di Jalan PBS 14/2, Serdang Raya di sini semalam.

Mereka yang berusia 29 hingga 45 tahun itu dikatakan mula dikurung di situ sejak awal April lalu dan diseksa bagaikan 'tawanan perang' oleh sindiket ah long.

Menambahkan lagi penderaan, ah long terbabit hanya memberi sebuku roti kepada setiap mangsa dalam tempoh dua minggu sekali.

Kesemua mangsa juga hanya diberi minum air paip.

Selain itu, mangsa-mangsa yang berasal dari Kajang, Gombak dan Segamat, Johor itu turut dirotan sekiranya mereka membuat bising ketika berada dalam kurungan tersebut.

Sebaik diselamatkan, mangsa-mangsa itu terpaksa dipapah keluar selepas mereka tidak mampu berjalan sendiri akibat sakit seluruh badan kerana dipukul.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa-mangsa diselamatkan selepas polis menahan dua lelaki dipercayai ah long pada pukul 11 pagi di hadapan sebuah bank di Desa Jaya, Kepong semalam.

"Selepas soal siasat terhadap kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun, kita telah menyerbu tingkat bawah sebuah rumah kedai di Serdang Raya," kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian.


DUA lelaki yang dikurung ah long dalam sebuah bilik kurungan di Serdang Raya semalam.


Menurut beliau, dalam serbuan pada pukul 2.30 petang, badan ketiga-tiga mangsa itu diikat dengan rantai dan ditempatkan di dalam dua buah bilik kecil bersaiz tandas.

Satu bilik tersebut di kurung seorang mangsa manakala satu bilik lagi ada dua mangsa dikurung sekali.

Katanya, rumah kedai tersebut telah diubah suai dengan menempatkan dua bilik kurungan berukuran 1.2 X 1.2 meter dan 1.2 X 1.8 meter dan setiap bilik itu dipisahkan oleh dinding konkrit.

Rahim memberitahu, ketiga-tiga mangsa itu akan melakukan kegiatan rutin seperti makan, minum, tidur dan membuang air besar di dalam bilik kecil tersebut sehingga hutang tertunggak mereka telah dijelaskan oleh ahli keluarga masing-masing.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...