SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura semalam mengesahkan kes influenza A H1N1 pertama di republik itu yang membabitkan seorang pelajar wanita yang tiba dari New York.
Menurut kementerian itu, identiti pelajar universiti berumur 22 tahun itu tidak didedahkan tetapi dia kini dirawat di sebuah pusat perubatan penyakit berjangkit dan keadaannya dilaporkan stabil.
Pelajar berkenaan berada di New York dari 14 hingga 24 Mei lalu untuk satu lawatan belajar sebelum dia tiba di Singapura dengan menggunakan sebuah penerbangan Singapore Airlines kelmarin.
Pelajar berkenaan mengalami batuk tetapi melepasi imbasan suhu badan di lapangan terbang kerana dia masih belum demam namun pelajar itu berjumpa doktor sebelum dihantar ke hospital.
Menurut Menteri Kesihatan, Khaw Boon Wan, seorang pelajar lain dan seorang profesor yang turut menyertai lawatan sama kini dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Keluarga wanita itu dan seorang pembantu rumah pesakit juga dikuarantin, kata Boon Wan.
"Beberapa doktor memberitahu pelajar itu tidak mempunyai masalah perubatan menyebabkan saya berpendapat dia akan pulih seperti pesakit lain," kata Boon Wan.
Berdasarkan laporan, virus A H1N1 sehingga kini menyebabkan 92 kematian manakala lebih 13,000 orang jatuh sakit sejak ia pertama kali dilaporkan pada pertengahan April lalu di Mexico, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - AFP
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
No comments:
Post a Comment