Wednesday, June 24, 2009

200,000 diberi suntikan

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: SERAMAI 200,000 petugas di barisan depan sudah diberikan suntikan vaksin selesema bermusim (seasonal flu) dua tahun berturut-turut sejak 2007.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, berkata dalam pelan kebangsaan iaitu “National Influenza Preparedness Pandemic Plan 2006” dianggarkan 200,000 petugas barisan hadapan dijangka terbabit menangani wabak pandemik influenza.

Menurutnya, petugas berkenaan adalah kakitangan kerajaan termasuk anggota kesihatan dan perubatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Imigresen.

“Vaksin bagi Influenza A (H1N1) belum dapat dihasilkan lagi. Pada masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama dengan syarikat utama pembuat vaksin dunia sedang berusaha menghasilkan vaksin influenza A (HIN1) untuk digunakan sebagai pencegahan jangkitan influenza.

Virus Infleunza A (H1N1) satu virus baru dan sebagaimana yang dimaklumkan WHO, masa diperlukan bagi menghasilkan vaksin itu mengambil tempoh di antara tiga hingga enam bulan.

“Vaksin ini dijangka dapat disediakan sebelum penghujung tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen itu mahu mendapatkan penjelasan mengenai jumlah kakitangan kerajaan termasuk polis dan tentera yang menerima suntikan vaksin bagi menentang Influenza A (H1N1).

Mengulas lanjut, Liow berkata, setiap tahun bermula 2007, petugas barisan depan itu sudah diberikan pelalian vaksin selesema bermusim.

Menurutnya, pelaksanaan program pelalian ini selama dua tahun berturut-turut mendapati kakitangan kategori ini hanya dalam lingkungan 200,000 orang saja.

“Sehubungan itu, pada awal Mei tahun ini, sejumlah 200,000 dos vaksin influenza sudah dibekalkan kepada semua negeri untuk disuntik kepada petugas yang sudah dikenali pasti.

“Vaksin selesema bermusim mengandungi komponen dari virus Influenza A (H3N2), Influenza A (H1N1) dan Influenza B.

“Jenis virus ini ditentukan WHO bagi membantu virus influenza persekitaran seterusnya WHO akan menyarankan jenis virus perlu dimasuk ke dalam vaksin selesema bermusim ini,”
katanya.

Selain itu, katanya, vaksin selesema bermusim ini hanya berkesan terhadap virus influenza sedia ada di persekitaran.

Menurutnya, ia tidak berkesan untuk melindungi individu dari jangkitan virus Influeza A (H1N1) baru yang menyebabkan wabak seluruh dunia sekarang ini.

“Ini kerana virus itu adalah ‘strain’ baru dari virus influenza yang biasa, bagaimanapun, pelalian akan mengurangkan risiko individu daripada menjadi tempat virus influenza bermutasi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090624064354/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...