Wednesday, June 24, 2009

Fareez wakil diri sendiri

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Penyanyi era 80-an, Fareez akan mewakili dirinya sendiri bagi menyoal balas bekas isteri, penyanyi lagu etnik kreatif, Noraniza Idris dalam prosiding sambung bicara berhubung harta sepencarian pada 11 Ogos depan.

Ia berikutan Fareez atau Mohammad Fauzi Ahmad Tajuddin, 40, (defendan) tidak diwakili mana-mana peguam dan dia diberi peluang menyoal Noraniza berhubung permohonan dan keterangan dikemukakan Noraniza sebelum ini.

Terdahulu, Fareez memohon penangguhan bagi membolehkan dia mengkaji dokumen dan keterangan dalam kes itu selepas peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman selesai menyoal anak guamnya.

Hakim Mohamad Shakir Abdul Hamid menetapkan dua hari iaitu 11 dan 12 Ogos ini untuk sambung bicara.

Noraniza dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, mengemukakan tiga dokumen sebagai bukti iaitu, sijil perceraian, surat ditulis Fareez berhubung harta sepencarian, serta perjanjian jual beli kedai di Seksyen 6, Wangsa Maju.

ZURI: Rujuk kepada perjanjian jual beli kedai ini. Bagaimana ia berada dengan kamu dan kenapa tarikh jualannya berbeza iaitu 17 Mei 2006 sedangkan dalam keterangan sebelum ini kamu hanya mengetahui kedai itu sudah dijual akhir tahun lalu?

NORANIZA: Saya dapat salinan jual beli ini melalui rakan defendan manakala yang asal ada dalam simpanan defendan.

Dokumen ini adalah lampiran yang saya gunakan ketika terdapat masalah bayaran tunggakan untuk pengurusan Taman Mini Malaysia.

Ia sebagai bukti kepada Taman Mini Malaysia bahawa saya akan dapat membayar balik segala hutang membabitkan kerajaan Melaka. Saya berbincang dengan defendan dan dia kata akan jual kedai itu dan serahkan separuh untuk selesaikan tunggakan termasuk ringankan beban kerana Syarikat Gerak Budaya Sdn Bhd yang menguruskan Taman Mini Malaysia, 90 peratus atas nama saya manakala defendan pula menguruskan taman rekreasi.

ZURI: Walaupun dokumen ini diberi kepada kamu tetapi kamu tidak pasti sama ada kedai itu benar-benar dijual pada 17 Mei 2006?

NORANIZA: Ya. Hanya selepas saya dapatkan kepastian daripada anak sulung saya akhir tahun lalu, baru permohonan harta sepencarian ini difailkan.

Mengikut penyata tuntutan, sepanjang perkahwinan itu, Noraniza dan Fareez mempunyai dua hartanah bersama iaitu bangunan kedai dan rumah di Wangsa Maju.

Pada 13 April 2006, Fareez didakwa bersetuju menyerahkan 50 peratus hasil penjualan kedai itu, bagaimanapun defendan gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Berdasarkan penyata tuntutan itu lagi, rumah berkenaan didaftar atas nama defendan, bagaimanapun plaintif mendakwa rumah itu dibeli ketika mereka masih bersama dan Fareez tidak memberikan sebarang komitmen.

Noraniza mendakwa dia mempunyai milikan 50 peratus terhadap rumah itu dan memberi sumbangan langsung atau secara tidak langsung ke atas pembelian, perbelanjaan dan penyelenggaraan rumah berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090624064237/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...