Wednesday, June 24, 2009

Janji Wali Kutub

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 15 peniaga yang terpedaya dengan satu tabung dinamakan Dana Muslim kononnya bernilai AS$84 bilion (RM294 bilion) sanggup melabur antara RM32,000 hingga RM1 juta dengan harapan mendapat pulangan lumayan jutaan ringgit.

Namun, nasib mereka ibarat peribahasa ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ apabila dana yang diuar-uarkan seorang wanita dan rakan kongsi lelaki yang dikenali sebagai Wali Kutub hanya rekaannya semata-mata.

Sehingga kini, wanita terbabit yang dikenali sebagai Siti berusia 51 tahun sudah mengaut lebih RM5 juta daripada peniaga berkenaan dari seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Mangsa mengenali wanita terbabit melalui rangkaian perniagaan yang dijalankannya, termasuk menjual mutiara yang didakwa diimport dari Filipina selain produk kesihatan.

Ketika berurusan dengan peniaga berkenaan, Wali Kutub yang mendakwa kerabat diraja Jordan menawarkan pelaburan dalam Dana Muslim yang mempunyai wang berjumlah RM294 bilion dalam akaun di luar negara.

Bagaimanapun, dana itu didakwa tidak boleh dikeluarkan begitu saja kecuali membayar ‘wang kopi’ atau sogokan kepada pemimpin negara luar dan pegawai kanan kerajaan tertentu yang kononnya mempunyai kuasa berbuat demikian.

Jumlah ‘wang kopi’ yang perlu dibayar adalah tinggi kerana dana itu besar jumlahnya, tetapi boleh dibayar ansuran selama beberapa bulan.

Sebaik pembayaran sogokan itu selesai, peniaga terbabit boleh memiliki wang berkenaan yang akan diagihkan mengikut jumlah pelaburan.

Maklumat mengenai kegiatan wanita dan rakan kongsinya itu didedahkan apabila lima mangsa tampil ke pejabat Harian Metro di sini semalam dengan membawa laporan polis masing-masing.

Peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Karim, 31, berkata dia dan empat mangsa lain mula menyertai program pelaburan dana itu selepas diperkenalkan seorang rakan yang juga ahli perniagaan.

“Kami berjumpa Siti dan Wali Kutub pertengahan tahun lalu. Mereka bijak berkata-kata hingga dapat mempengaruhi kami dengan janji-janji manis.

“Mereka mendakwa Dana Muslim itu bernilai AS$84 bilion dalam satu akaun di luar negara. Sekiranya mahu mengeluarkan wang terbabit, kami diminta membuat pelaburan dengan menyogok pemimpin negara luar dan pegawai kanan kerajaan tertentu,”
katanya yang mengalami kerugian hampir RM1 juta.

Bagi memudahkan pembayaran itu, kata Karim, mereka perlu memasukkan sejumlah wang secara berperingkat dalam akaun bank setiap minggu atau bulan seperti diarahkan Siti.

Mangsa membuat pelaburan itu tanpa mengira tempoh kerana didakwa semakin banyak pelaburan dibuat semakin besar jumlah wang daripada dana terbabit diperoleh.

“Semua wang dikreditkan dalam akaun milik anak perempuan Siti dan sehingga kini tidak diketahui ke mana wang itu dilaburkan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hakim, 40, berkata dia sudah melabur hampir RM1 juta sejak lapan bulan lalu, tetapi sehingga kini, jumlah dana yang dijanjikan masih gagal diperoleh.

Katanya, kali terakhir dia membuat pembayaran berjumlah RM90,000 pada minggu lalu.

“Jumlah itu didakwa perlu dibayar segera kononnya untuk membolehkan dana berkenaan yang sudah berada dalam akaun di negara ini boleh dikeluarkan.

“Bagaimanapun, dana yang dijanjikan belum diperoleh hingga kini. Saya dan rakan lain yang tertipu membuat laporan polis,”
katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...