Tuesday, June 2, 2009

Bawa 228 penumpang, dipercayai dilanggar angin kencang


SEKUMPULAN rakan dan keluarga penumpang pesawat Air France penerbangan AF447 tiba di pusat krisis lapangan terbang Charles de Gaulle, Paris semalam manakala gambar kanan sebuah pesawat Air France Airbus A330 terbang melintasi Toulouse, selatan Perancis.





PARIS - Sebuah pesawat penerbangan Air France dengan 228 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Brazil menuju ke ibu kota Perancis, Paris semalam.

Pesawat jenis Airbus 330-200 itu dipercayai hilang selepas dilanggar angin kencang.

Setakat ini, jet-jet tentera dari Brazil dan Perancis telah dikerah bagi mencari pesawat tersebut.

Jurucakap syarikat Air France berkata, selepas 15 minit merempuh angin kencang, pesawat terbabit menghantar isyarat automatik melaporkan ia mengalami litar pintas.

Menteri Kanan Perancis, Jean Louis Borloo menyatakan, kerajaan menolak kemungkinan penerbangan AF447 yang berlepas dari Rio de Janeiro itu dirampas.

"Ketika kejadian angin bertiup terlalu kuat. Ketika ini, kami masih belum pasti apa yang sebenarnya berlaku," kata Borloo ketika bercakap di sebuah stesen radio tempatan.

Pesawat membawa 216 penumpang dan 12 anak kapal itu meninggalkan Rio de Janeiro pada pukul 7 petang waktu tempatan kelmarin.

Ia dijadual mendarat di lapangan terbang antarabangsa Charles de Gaulle, Paris semalam pada pukul 11.15 pagi waktu tempatan.

"Tragedi itu amat menyedihkan. Kami tidak menaruh harapan kerana kandungan bahan api simpanan kandungan pesawat habis digunakan jika ia tidak mendarat selepas tempoh tersebut," kata Borloo.

Kawasan lokasi terakhir pesawat itu berada masih turut tidak dapat dipastikan.

Sumber kerajaan Brazil memberitahu, pesawat terbabit didapati hilang dari radar 3 jam setengah selepas ia berlepas.

Ketika itu, penerbangan AF447 sudah meninggalkan Brazil dan sukar untuk pusat kawalan udara di Rio de Janeiro Rio untuk mengesan kedudukan pesawat terbabit

Jurucakap tentera udara Brazil, Henry Wilson, berkata beberapa jet pejuang telah berlepas dari pulau Fernando de Noronha, timur laut Brazil untuk mengesan pesawat berkenaan.

Wakil Kedutaan Perancis di Senegal, Jean Christophe Ruffin memberitahu, tiga buah pesawat iTele Paris turut diarahkan mencari pesawat Airbus 330-200 yang hilang itu. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...