Thursday, June 25, 2009

Langkah tegas kawal H1N1

Oleh Kasdi Ali
kasdi@hmetro.com.my


SIAPA sangka, berita yang kita tonton di kaca televisyen tidak sampai dua bulan lalu mengenai penemuan sejenis virus selesema yang baru dikesan disahkan membunuh puluhan penduduk di Mexico sehingga memaksa pihak berkuasa negara itu menutup sekolah, muzium, perpustakaan dan teater kini melanda negara kita.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika itu menyuarakan kebimbangan mengenai penularan wabak virus influenza A (H1N1) yang boleh merebak daripada manusia kepada manusia.

Ibarat mimpi ngeri menjadi kenyataan, WHO memaklumkan sehingga semalam dan dalam tempoh dua bulan, virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia, sudah mencatatkan 53,110 kes dengan .232 kematian dari 99 negara

Malaysia tidak terkecuali. Statistik menunjukkan angka membimbangkan apabila peningkatan mendadak sehingga 400 peratus kes H1N1 dalam tempoh seminggu sehingga semalam melonjak kepada 80 kes dengan 11 kes jangkitan tempatan berbanding hanya 21 kes dilaporkan dengan satu jangkitan tempatan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dipetik sebagai berkata, peningkatan 400 peratus dalam tempoh hanya seminggu itu juga bermakna terdapat lompang dalam sistem pengesanan negara, sekali gus memaksa kerajaan mengetatkan pemeriksaan kesihatan di lapangan terbang.

Menurutnya, peningkatan ketara itu disebabkan mereka yang masuk ke dalam negara ini tidak jujur dalam pengakuan mengenai penyakit yang dihidapi.

Ia menyebabkan satu atau dua kes yang tidak dikesan mencetuskan jangkitan tempatan.

“Mereka yang mempunyai tanda jangkitan perlu berlaku jujur, terutama yang tiba ke Malaysia dari lapangan terbang di negara yang dikesan menularnya jangkitan penyakit ini dengan serius,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mulai semalam, semua penumpang penerbangan akan diminta mengisi kad amaran kesihatan dalam penerbangan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa kesihatan sebelum mereka dibenarkan melalui kaunter imigresen.

Pada masa sama, pasukan kesihatan akan berusaha mengesan penumpang yang 'kelihatan tidak sihat'.

Katanya, peraturan baru itu juga akan dikenakan buat penumpang yang tiba dari Filipina, Amerika Syarikat dan Australia berikutan ketiga-tiga negara itu mencatatkan jumlah kes jangkitan H1N1 yang tinggi.

Biarpun belum ada kes kematian direkodkan di negara ini akibat H1N1, langkah pengawalan lebih ketat dan sikap berwaspada perlu sentiasa berada di tahap tertinggi kerana ‘dewa maut’ H1N1 kini sudah memasuki benua Asia.

Ia susulan kematian seorang wanita Filipina berusia 49 tahun yang menjadi mangsa maut pertama H1N1 di negara itu dan Asia dengan jumlah mereka yang dijangkiti terus meningkat di rantau ini.

Kematian itu yang secara rasmi dilaporkan akibat kegagalan jantung, menandakan kes maut yang ketiga di rantau Asia Pasifik dikaitkan dengan H1N1 selepas mengorbankan dua lelaki Australia pada 18 dan 23 Jun lalu.

Bagi ibu bapa di negara ini, situasi semasa menjadikan mereka orang paling gusar memikirkan keselamatan anak masing-masing kerana sejak 21 Jun lalu, wabak H1N1 sudah dikesan di tujuh sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor menyebabkan empat daripadanya ditutup dan tiga lagi diarah menutup kelas membabitkan pelajar yang dijangkiti.

Kelmarin, Sekolah Sri Cempaka International School, Cheras diarah tutup sehingga 27 Jun manakala Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 di Petaling Jaya ditutup selama seminggu.

Terdahulu pada 21 Jun, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 2 di Petaling Jaya ditutup seminggu kerana penularan tempatan H1N1.

Tiga sekolah lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, SMK Seksyen 9 Shah Alam dan Sekolah Menengah Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur kekal dengan penutupan satu kelas bagi tempoh tujuh hari.

Kerajaan juga dilihat bersedia mengambil langkah pembendungan hingga ke tahap menutup semua sekolah untuk mengelak penularan H1N1.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan itu akan menjadi pilihan terakhir kerajaan jika bilangan kes H1N1 terus bertambah selepas mengambil langkah ketat.

“Jika kita tutup sekolah, ia hanya akan wujudkan suasana panik. Di samping itu, kita mesti pastikan tindakan tegas supaya wabak ini dapat dikawal.

“Bagi saya, menutup sekolah adalah salah satu tindakan tegas yang boleh diambil. Ia bukan sesuatu yang tidak akan kita buat. Jika langkah lain tidak berkesan, wabak itu terus menular dan bilangan kes terus meningkat, mungkin kerajaan perlu menimbangkannya,”
katanya.

Sehingga jam 8 pagi semalam, 44 pesakit masih berada di hospital iaitu di Hospital Sungai Buloh (24 pesakit), Hospital Kuala Lumpur (4), Hospital Pulau Pinang (4), Hospital Ipoh (1), Hospital Alor Setar (3), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (4), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (2) dan Hospital Umum Sarawak (2).

Mengenai asal-usul virus H1N1, ia biasanya dialami haiwan babi dan merebak melalui sentuhan langsung atau penyebaran partikel halus di udara dan gejalanya sama seperti selesema iaitu demam, hidung berair, batuk, sakit tekak dan kurang selera makanan, malah sesetengah mangsa muntah-muntah dan cirit-birit.

Kemunculan H1N1 mungkin mengingatkan kita kembali kepada insiden lima tahun lalu apabila kita digemparkan dengan penularan virus selesema burung (H5N1) di rantau Asia dan dua tahun sebelum itu Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) yang mengorbankan lebih 1,000 orang, terutama di China dan Hong Kong.

Justeru, pengalaman berdepan SARS, H5N1 dan Japanese Encephalitis (JE) selain kesedaran masyarakat yang tinggi diharap menjadi kekuatan kita bersama dalam menangani wabak H1N1 daripada terus menular.

Bagi umat Islam di negara ini, satu lagi cara terbaik boleh mereka lakukan untuk menghadapi H1N1 ialah melakukan solat hajat dan memohon kepada Allah s.w.t supaya terus diberi perlindungan daripada jangkitan virus berkenaan.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd Roslan Mohd Nor, solat hajat boleh dilakukan secara berjemaah di masjid, surau dan madrasah seluruh negara.

“PUM memandang serius virus H1N1 yang melanda dunia kerana wabak itu sudah sampai ke tahap penularan dan penyebaran daripada manusia ke manusia.

“Solat hajat bagi menolak bala supaya wabak ini dapat dikawal perlu diadakan. Masjid juga perlu menggunakan kesempatan ketika khutbah Jumaat untuk memberikan maklumat dan ingatan kepada masyarakat mengenai H1N1,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090625070931/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...