Thursday, June 25, 2009

Noniswara nikah Datuk R

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Selepas hangat digosipkan bernikah sebelum ini, dramatis jelita, Noniswara Baharudin akhirnya tampil membuat pengakuan dia akan menamatkan zaman jandanya dengan tokoh korporat yang bertugas di syarikat telekomunikasi yang hanya dikenali sebagai Datuk R.

Majlis pernikahan Noniswara, 39, ibu tunggal kepada tiga anak dan Datuk R, 50, akan berlangsung di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada 31 Julai ini. Ia disusuli majlis resepsi pasangan ini di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 1 Ogos.

Ketika dihubungi, pelakon yang berasal dari Pasir Mas Kelantan ini, berkata dia memilih Datuk R sebagai suami kerana dia lelaki yang baik, jujur, penyayang dan sangat memahaminya sepanjang tempoh mereka berkawan.

“Apa yang penting, semua anak kami (di kedua-dua pihak) merestui hubungan ini. Malah, tiga anak saya juga menerima kehadiran Datuk R dan menganggapnya sebagai bapa.

“Terus terang, banyak dugaan dan ujian dihadapi sepanjang kami berkawan. Saya juga bukan sengaja hendak merahsiakan hubungan ini tetapi memikirkan banyak hati yang perlu dijaga ketika itu. Namun, saya percaya, jodoh itu ketentuan Tuhan dan ternyata Datuk R memang jodoh saya.

“Sebagai wanita yang pernah berkahwin, sudah pasti saya mengharapkan perkahwinan kedua ini berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.

Mengulas lanjut detik perkenalan mereka, Noniswara yang juga Pengarah Urusan, Symphony Advanced Sdn Bhd, berkata hubungannya dengan Datuk R bermula sebagai rakan bisnes sebelum bertukar menjadi serius.

“Kami sudah berkawan selama tiga tahun dan ia bertukar serius selepas dua tahun bersahabat. Sebenarnya, saya hanya mengenalinya selepas setahun dia bercerai dengan bekas isterinya dulu. Justeru, saya berharap tidak timbul lagi gosip yang mengatakan saya perampas suami orang seperti disebarkan sebelum ini

“Saya juga memilihnya bukan sebab harta, sebaliknya kerana dia lelaki yang sederhana. Kalau saya memandang pada kebendaan sudah lama saya mencari lelaki yang kaya raya di luar sana,”
katanya.

Buat masa ini, kata Noniswara yang turut menjadi pelakon undangan dalam drama bersiri Kecuali Cintamu terbitan Astro, dia juga terpaksa menolak tawaran berlakon di luar daerah dan membabitkan masa yang panjang bagi memberi fokus kepada persiapan majlis perkahwinannya.

“Maklumlah, ini perkahwinan kali kedua saya dan tidak perlulah kami nak buat secara besar-besaran pula. Kami juga hanya merancang majlis yang sederhana dan dihadiri ahli keluarga terdekat dan teman rapat kedua belah pihak saja. Majlis resepsi kami juga tidak ada persandingan dan sekadar majlis makan malam.

“Pada majlis akad nikah, saya bakal menggayakan rekaan dari butik Cosry dan pada majlis resepsi pula rekaan Amir Luqman,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090625071445/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...