Wednesday, August 26, 2009

Dunia bagaikan berputar

Vertigo penyakit ketidakseimbangan dalam telinga.


PENING seringkali dirasai sewaktu bangun pagi.


RUANG yang dilihat di sekelilingnya seakan-akan sedang berputar. Pandangannya yang berpusing-pusing itu seperti orang yang baru kali pertama menaiki roller coaster. Disertai pula rasa loya dan muntah, si penderita keadaan ini adakalanya takut untuk bergerak.

Diagnosis Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Kuljit Singh mendapati semua itu adalah simptom kepada penyakit pening yang berpunca daripada ketidakseimbangan dalam telinga atau dikenali juga sebagai vertigo.

Jelas Kuljit, terdapat beberapa simptom yang menjadi petunjuk kepada penyakit ini seperti pergerakan ritma mata yang abnormal (nistagmus), pening serta loya dan muntah.

Dalam kes-kes lazim, seseorang pada mulanya hanya menganggap ia sekadar pening biasa, namun tidak dapat menggambarkan keadaan sensasi tidak stabil, rasa melayang serta penglihatan yang berpinar-pinar.

“Bagi penghidap vertigo Benign Paroxysmal Positional (BPPV), serangan seringkali berlaku ketika bangun tidur pada waktu pagi dan disertai kombinasi simptom lain.

“Tempoh serangan mungkin hanya sekitar satu minit namun sensasi serangan tersebut mungkin berakhir setelah beberapa minggu,” jelasnya tentang episod pening melampau namun singkat itu.

Dalam pada itu, vertigo postur phobic pula boleh terjadi apabila wujud faktor stimulasi berdiri seperti menaiki tangga, berdiri atau melakukan apa saja pergerakan terutama melibatkan kepala.

Sekiranya vertigo muncul dari pusat keseimbangan otak, ia lebih rumit kerana berkait dengan kerosakan neurologi. Ini menjelaskan berlakunya pertuturan yang tidak jelas, penglihatan berganda dan ketidakseimbangan tubuh.

Kuljit turut memberitahu bahawa serangan vertigo terdapat dalam beberapa jenis mengikut situasi dan penyakit yang berkaitan dengan pesakit.

“Misalnya vertigo periferal disebabkan oleh trauma pada kepala akibat kecederaan, manakala bagi kes penyakit Meniere, vertigo tercetus akibat berlaku keadaan abnormal pada telinga dalam.

“Ia bukan saja menyebabkan keadaan kepala seolah-olah merasa kesan berpusing, malah telinga berdesing (tinitus),” terang Kuljit.


KETIDAKSEIMBANGAN tekanan dalam telinga menyebabkan vertigo.


Di samping itu, fistula perilimfa merupakan abnormaliti yang terjadi di antara ruang dalam telinga yang mengandungi cecair iaitu meliputi koklea dan telinga tengah yang terdiri daripada gegendang telinga dan tulang-tulang osikel iaitu tukul, rakap dan andas.

Terang Kuljit, serangan vertigo jenis ini tidak kronik dan boleh sembuh dengan sendiri walaupun dalam kes tertentu memerlukan pembedahan untuk pulih semula.

“Satu lagi jenis vertigo disebut sebagai idiopatik. Penyebab bagi jenis ini ini tidak menemui penjelasan sebenar kerana ia merupakan kombinasi beberapa jenis vertigo. Namun, pencetus utamanya adalah pergerakan,” katanya.

Kebanyakan pesakit adalah daripada golongan pertengahan umur dan ia mungkin berpunca daripada vestibul yang menjadi lebih sensitif.

Rawatan

Rawatan yang perlu dijalani bergantung kepada jenis vertigo yang dialami oleh pesakit. Namun, diagnosis terhadap keadaan telinga dalam pesakit akan menentukan pencetus utama penyakit ini.

Menurut Kuljit, terdapat beberapa cara untuk mengubati penyakit ini termasuk menggunakan ubat-ubatan seperti betasere, stemetil dan stugeron.


KULJIT... pesakit akan pening.


Beberapa siri pergerakan yang dikenali sebagai Prosedur Menempatkan Semula Canalith bagi melegakan BPPV merupakan rawatan utama bagi vertigo.

Mudah dan tidak mengambil masa yang lama, prosedur berkenaan terdiri daripada beberapa pergerakan ringkas untuk meletakkan kepala dalam kedudukan yang betul.

“Paling utama, partikel-partikel daripada kanal separa bulat berisi cecair (labirin vestibular) digerakkan untuk memasuki struktur seperti beg halus (utrikel), di mana partikel-partikel ini tidak lagi mengganggu selama sekitar 30 saat,” ungkap Kuljit.

Usai prosedur, pesakit perlulah mengelak daripada baring terlentang selama 24 ke 48 jam. Malah pesakit juga digalakkan untuk meninggikan bahagian kepala di atas bantal semasa tidur.

“Ini memberikan masa kepada partikel-partikel tadi untuk terapung-apung di dalam labirin sebelum mendap di dalam utrikel ataupun diserap semula oleh cecair-cecair tubuh,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0823&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...