BUKAN manusia sahaja yang yang mengutamakan kebersihan, tetapi juga belangkas. Faktor kebersihan inilah menjadikan Tanjung Buai yang terletak di antara Sungai Johor dan Sungai Lebam dalam daerah Kota Tinggi, Johor menjadi lokasi pilihan belangkas untuk mendarat setiap kali air pasang kerana airnya yang masih belum tercemar.
Belangkas yang seringkali dikaitkan dengan manusia melalui pepatah 'seperti belangkas' merupakan sejenis haiwan yang hidup di laut dan paya air tawar. Ia agak mudah ditangkap.
Haiwan yang panjang ekornya boleh mencapai sehingga 51 sentimeter itu biasanya mendarat ketika air pasang dan menjadi sumber rezeki kepada para pencarinya.
Kehadiran haiwan yang badannya mirip topi besi tentera itu ternyata membawa rezeki 'terpijak' kepada penduduk Tanjung Buai.
Hanya belangkas betina yang ditangkap dan dijual kepada peniaga restoran pada harga di antara RM2 hingga RM5 seekor, bergantung kepada saiz.
Menurut pemilik sebuah restoran, Ibrahim Baharum, 61, dia menjadikan belangkas sebagai menu utama di restorannya yang terletak di persimpangan jalan ke Teluk Sengat.
"Setiap hari, saya akan ke Kampung Tanjung Buai untuk membeli belangkas daripada penduduk kampung.
"Kemudian, saya akan menyimpannya di rumah rakit untuk memastikan stok belangkas saya mencukupi," katanya.
Ujar Ibrahim, belangkas cukup enak jika dimasak asam pedas kering.
"Ada juga pelanggan yang meminta belangkas untuk dimasak sup.
"Biasanya, menu belangkas akan habis setiap hari," ujarnya kepadaKosmo!.
Tambahnya, memasak belangkas memang mudah tetapi untuk menyiangnya, seseorang perlu berhati-hati.
Ini kerana, katanya, sejenis toksin yang boleh membuatkan sesiapa yang memakannya mabuk perlu dibuang.
"Kalau kita termakan toksin itu, kita mungkin akan berasa pening kepala dan cara untuk menghilangkannya adalah dengan meminum air kelapa," ujarnya.
Menurutnya, isi belangkas lebih sedap daripada isi ketam dan orang kampung percaya, ia boleh dijadikan makanan tambahan untuk menguatkan tenaga.
"Saya masak sehingga 40 ekor belangkas setiap hari," tambahnya.
Restoran Ibrahim yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 3 petang itu sering menjadi tumpuan penduduk di sekitar Bandar Penawar, Desaru, Bandar Emas serta beberapa kawasan Felda di sekitar Kota Tinggi. Ia juga mendapat perhatian para pelancong dari luar daerah termasuk Singapura.
Sebuah lagi restoran yang menyajikan menu belangkas adalah Restoran Belangkas Mahkota di Kota Tinggi.
Restoran yang terletak di Jalan Kota Tinggi- Mersing sejak 10 tahun lalu itu sering menjadi lokasi persinggahan penggemar masakan belangkas dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina.
Seperti sajian di restoran Ibrahim, menu istimewa dan sering mendapat permintaan tinggi adalah belangkas masak asam pedas kering.
Ia dijual pada harga RM5 bagi satu hidangan.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm
No comments:
Post a Comment