'Tiada panel rayuan syariah' di Pahang | |||
|
Panel Mahkamah Rayuan Syariah Pahang masih belum dilantik, setakat ini, menyebabkan rayuan bagi kes-kes seperti melibatkan Kartika Sari Dewi Shukarno tidak dapat didengar, kata seorang peguam syariah terkemuka. Zainul Rijal Abu Bakar menambah, terdapat dua pesalah di negeri berkenaan yang dijatuhi hukuman sebat mengikut undang-undang syariah sebelum ini, tetapi rayuan bagi hukuman tersebut tidak dapat didengar sejak lima tahun lalu. "Bukan Kartika seorang saja, lima tahun lepas dan tahun lepas juga ada kes jatuh hukuman sebat. Rayuan juga tapi tidak boleh didengar," kata bekas pemimpin Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) ketika dihubungi Malaysiakini hari ini. Tambahnya, pendakwaan dan bentuk hukuman yang dikenakan ke atas Kartika "sudah jelas" tetapi ia kini dikaburi oleh pihak-pihak berkepentingan yang cuba campur tangan, termasuk kuasa eksekutif. "Dan kalau benar Peguam Negara telah menghantar surat supaya (hukuman) ditangguhkan, (tindakan) itu sudah melanggar urusan negeri sebab bidang kuasa dia di peringkat persekutuan," kata Zainul Rijal, kini setiausaha pertubuhan Peguam Pembela Islam (PPI). "(Keadaan) ini sudah melanggar prosedur. Sepatutnya kena failkan semakan dahulu, baru mohon ditangguhkan. Inilah yang jadi apabila menteri turut masuk campur." Tambahnya, hukuman sebat yang diperuntukkan undang-undang syariah di setiap negeri tidak melangkaui kuasa perlembagaan dan perkara itu tidak seharusnya menjadi isu. "Dewan Undangan Negeri boleh buat peraturan kesalahan dan hukuman bagi perbuatan melanggar perintah Islam, tetapi Perlembagaan boleh mengehadkan hukuman sahaja," jelas Zainul Rijal. Beliau menjelaskan, isu ini termaktub dalam Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) yang memperuntukkan bidang kuasa tersebut kepada kerajaan negeri untuk menyekat kesalahan dan hukuman yang “melanggar rukun Islam”, termasuk mengambil alkohol. Katanya lagi, hukuman yang dikenakan ke atas Kartika "bukanlah hukuman maksimum" kerana telah dimitigasi oleh wanita tersebut. "Ia bukan hukuman maksimum. Kartika sendiri telah merayu dan mohon denda serta sebatan. Mungkin atas mitigasinya itu hukuman penjara tidak dikenakan," katanya. Hukuman maksimum bagi kesalahan-kesalahan jenayah syariah di Pahang adalah tiga tahun penjara, RM5,000 denda serta enam sebatan. Mengulas isu ketiadaan panel rayuan syariah di Pahang seperti dakwaan Zainul Rijal, ketua pendaftar Mahkamah Syariah Pahang enggan menamakan hakim-hakim terbabit tetapi mengesahkan panel itu memang ada. "Nama-nama ini ada. Tapi biarlah kami dedahkan pada masa sesuai," kata Muhammad Azhari Abd Rahman kepada Malaysiakini. "Buat masa ini tak perlulah saya komen lebih lanjut, memandangkan isu ini sudah sampai ke peringkat antarabangsa." Menjelaskan lagi perkara tersebut awal malam ini, Zainul Rijal berkata nama-nama untuk panel rayuan tersebut "memang ada" tetapi tidak boleh mendengar kes kerana tidak diberikan tauliah sebagai hakim. "Nama memang ada sejak sekian lama tetapi tidak diberikan tauliah hakim. Apa guna ada nama tetapi tidak ada tauliah, tidak boleh mendengar kes juga?" jelasnya melalui mesej SMS. "Dan saya juga tahu, ada seorang yang (telah) dinamakan sudah pencen daripada menjadi hakim rayuan syariah Malaysia. "Namun Pahang masih belum memberi tauliah dan nama beliau masih ada lagi." http://www1.malaysiakini.com/news/111453 |
No comments:
Post a Comment