MELIHAT penduduk kampung dipukul hingga mati dengan mata cangkul, direndam di dalam kolam sebelum ditembak di kepala atau ditanam hidup-hidup antara kekejaman Rejim Khmer Rouge yang masih terpahat di kotak ingatan Fauzi Ismail, 47.
Selama tiga tahun sembilan bulan hidup di bawah pemerintahan rejim pimpinan Pol Pot, Fauzi menyifatkan kezaliman dan penderitaan yang dilalui oleh rakyat Kemboja khususnya penganut agama Islam adalah satu kehidupan yang cukup getir.
Fauzi yang berketurunan Melayu Champa lahir dan membesar di Phnom Penh. Sebagai rakyat biasa, mereka tersepit sebaik gerila Khmer Rouge merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Lol Nol pada tahun 1975.
Kebuluran
Bergelar pelarian, dia pernah meredah belantara pada tengah malam dan hanya berpandukan cahaya bulan dan hampir kebuluran. Namun semua itu dilakukan semata-mata untuk lari daripada kekejaman perang.
Fauzi masih berasa ngeri jika teringatkan peristiwa yang dialaminya. Dia yang kini memiliki perniagaan kain baju di Pekan Parit Buntar, Perak bersyukur kerana dilimpahi rezeki di sini.
"Bayangkan, jutaan nyawa dibunuh tanpa belas kasihan sepanjang Pol Pot memerintah. Boleh dikatakan setiap hari mesti ada penduduk kampung yang mati.
"Pelbagai cara dilakukan oleh rejim Pol Pot untuk membunuh. Ini termasuklah menyeksa secara tidak berperikemanusiaan seperti menghentak kepala mangsa dengan paku atau tukul.
"Malah, penduduk kampung yang diberi makan bubur nasi dibiarkan kebuluran selama berbulan-bulan, sebelum dijamu makan nasi dan lauk yang ala kadar beramai-ramai.
"Tidak sampai sejam atau dua jam, ramai yang mati kerana sakit perut akibat makan terlalu banyak. Ini kerana perut yang telah lama kosong tiba-tiba diisi makanan. Ada juga yang mati petang, malam atau keesokan harinya.
"Ini antara cara-cara mereka membunuh orang kampung tanpa melepaskan tembakan. Saya betul-betul bersyukur kerana dipanjangkan umur," ceritanya.
Dibunuh kejam
Dia juga masih terbayangkan wajah seorang lelaki yang mati dibunuh oleh gerila-gerila Khmer Rouge dalam satu kejadian di kampungnya sekitar tahun 1976.
Berusia 12 tahun, Fauzi ditugaskan mengembala kerbau oleh ketua kampungnya. Sewaktu pulang dari menambat kerbau di hutan, Fauzi ternampak seorang lelaki sedang menggali lubang sambil diperhatikan oleh beberapa lelaki bersenjata.
"Saya menyorok di balik semak kira-kira 100 meter dari situ. Nampak mangsa menangis sambil terbongkok-bongkok.
"Salah seorang lelaki yang bersenjata kemudiannya menghayunkan cangkul dan mengenai belakang kepala mangsa sebelum ditendang ke dalam lubang.
"Darahnya menyembur keluar. Saya dapat dengar suaranya mengerang macam lembu kena sembelih. Selepas itu, gerila tadi menimbus lubang sebelum pergi," katanya.
"Nyawa manusia tiada harga. Mayat bergelimpangan di sana sini. Ada gerila-gerila Pol Pot yang tanam mayat-mayat, tetapi diuruskan lebih kurang sahaja.
"Biasanya lubang dikorek separas lutut dan ditimbus. Seringkali kubur-kubur akan dikorek oleh binatang buas termasuk anjing.
"Bau busuk usah cakap. Kami semua sudah biasa. Penduduk kampung tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut dan menurut sahaja kata mereka," jelasnya.
Demi hidup, mereka sanggup melakukan apa sahaja. "Suatu hari, kerbau jagaan saya terlepas lalu menuju ke petak sawah padi.
"Bimbang tindakan kejam Khmer Rouge jika kerbau memakan padi, saya mematahkan rangka mayat buat penghalang kerbau," ceritanya.
Bahasa Melayu
Rejim itu akhirnya tumbang pada tahun 1979 setelah dikalahkan oleh pemberontak yang disokong oleh tentera Vietnam.
Bimbangkan keselamatan akibat perang saudara yang berterusan, dia dan penduduk kampung melarikan diri ke negara jiran, Thailand.
"Ketika itu saya berusia 14 tahun. Saya bersama tiga adik menyertai kira-kira 50 penduduk kampung meredah hutan belantara berpandukan cahaya bulan. Kami berjalan sehari semalam melalui kawasan yang ditanam periuk api, akhirnya kami sampai di sempadan Thailand.
"Setelah melepasi sempadan, kami dibawa anggota polis Thailand, lalu ditempatkan di kem pelarian di Kao Idang dan diawasi oleh pihak Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
"Selepas proses dokumentasi, kerajaan Malaysia melalui pegawai konsulatnya di Thailand membawa kami ke Cunburi dengan bas untuk ke Bangkok dan seterusnya ke Golok.
"Kemudian kami dibawa dengan bas melalui Rantau Panjang dan terus ke Kem Cherating, Pahang," katanya.
Sepanjang berada di penempatan pelarian Kemboja di situ, mereka diajar bahasa Melayu. Di samping pelbagai asas kemahiran seperti pertukangan dan jahitan sebagai persediaan meneruskan kehidupan di Malaysia.
"Setelah keluar kem, destinasi saya adalah ke rumah seorang ibu saudara di Tanah Kebun, Parit Buntar, Perak. Di sinilah saya mengenali dunia perniagaan dengan menjual kain pelekat, batik, baju dan sebagainya yang dibeli dari Kelantan.
Bersama tiga lagi rakannya, Fauzi membuka perkampungan di Permatang Tok Mahat dengan mengumpulkan beberapa kenalan demi sedikit. Kini jumlahnya meningkat lebih 200 keluarga Kemboja.
"Saya juga bertemu jodoh dengan sepupu sendiri, Faridah Salleh, 40. Kami bernikah di sini dan kini dikurniakan lapan orang cahaya mata. Tiga daripadanya ke menara gading,
"Semua rezeki yang dikurniakan ini cukup besar ertinya bagi kami sekeluarga.
"Daripada kehidupan susah di kampung di Kemboja, bertukar kepada penderitaan di bawah Rejim Pol Pot dan menjadi pelarian, saya tak sangka masih berpeluang mengecapi nikmat di sebuah negara bernama Malaysia," ujar Fauzi penuh kesyukuran.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm
No comments:
Post a Comment