PUNDI hempedu merupakan organ badan yang terdiri daripada karung kecil berbentuk buah pear yang terletak di bawah bahagian kanan hati. Jus hempedu yang dirembeskan oleh hati disimpan sehingga diperlukan oleh tubuh bagi penghadaman lemak.
Meskipun bahagian ini jarang diberi perhatian, namun kegagalan pundi hempedu berfungsi sebaiknya akan menyebabkan kemudaratan yang cukup berbahaya.
Menurut Pakar Pembedahan Hepatobiliari Klinikal Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia(PPUKM), Dr. Hairol Othman, kesakitan yang dialami bukan sahaja melibatkan bahagian abdomen malah terasa sehingga ke tulang belikat.
Gejala yang sering dihadapi adalah radang pada pundi hempedu berkenaan. Ini berlaku apabila batu terbentuk di dalam pundi hempedu pesakit. Keadaan menjadi kritikal sekiranya batu tersebut tersekat dan menghalang jus hempedu daripada dirembes keluar.
Beliau menjelaskan, terdapat dua faktor utama terjadinya batu dalam pundi hempedu iaitu kolesterol dan kalsium bilirubinate yang tinggi dalam badan.
“Batu hempedu terbentuk apabila kolesterol dan garam hempedu menjadi tepu. Ia akan membentuk kristal dan lama-kelamaan akan membesar lalu menjadi batu,” ujarnya.
Kesakitan yang dialami oleh pesakit biasanya disebabkan batu tersebut bergesel pada dinding pundi hempedu. Seringkali terjadi apabila seseorang itu mengambil makanan berlemak, pundi hempedu akan mengecut untuk merembeskan jus hempedu ke dalam usus untuk ‘meleburkan’ lemak tersebut.
Jika batu hempedu tersekat di pangkal pundi hempedu, ini membolehkan berlakunya radang pundi hempedu. Lebih parah jika serpihan batu hempedu tersumbat pada saluran hempedu yang menyambungkan pundi tersebut pada usus. Ia seterusnya akan menyebabkan jaundis.
“Kerana itu, ramai antara pesakit yang mengalami penyakit kuning (jaundis) jika lambat menerima rawatan,” katanya.
Tambah Hairol, batu hempedu terdiri daripada tiga jenis iaitu batu hempedu kolesterol, pigmen dan campuran kedua-duanya yang dapat diketahui melalui warna.
“Batu kolesterol biasanya berlaku di kalangan masyarakat Barat, lembut serta berwarna kuning seolah-olah tanah liat,”
“Batu pigmen pula terdapat pada mereka yang menghidap penyakit berkaitan darah seperti anaemia hemolitik dan berwarna hitam serta agak keras,” jelasnya.
Bagi batu bercampur pula, kriterianya mirip kedua-dua batu tadi. Jenis ini selalunya terdapat di kalangan masyarakat Asia yang disebabkan oleh jangkitan atau pemakanan yang mengandungi kolesterol dan kalsium tinggi.
Justeru, tidak kira besar atau kecil saiz batu hempedu, ia perlu dibuang dengan teliti bagi mengelakkannya tersumbat atau beralih dan terlekat pada salur hempedu.
Rawatan
Proses bagi membuang pundi hempedu beserta batu-batu hempedu di dalamnya boleh dilakukan menerusi kaedah kolesistektomi laparoskopik .
“Di PPUKM, kami menggunakan kolesistektomi laparoskopik iaitu dengan memasukkan kamera melalui luka di bahagian pusat dan tiga lagi luka kecil di bahagian atas abdomen untuk mengeluarkan pundi hempedu berkenaan,” jelas Hairol.
Tambahnya, kaedah pembedahan lubang kekunci tersebut memiliki beberapa kelebihan iaitu ia lebih selamat, kurang meninggalkan kesan parut dan tempoh pemulihan yang lebih pantas.
Pencegahan
Corak dan gaya hidup adalah faktor utama dalam mencegah masalah pembentukan batu hempedu.
“Ia melibatkan cara hidup kita, terutama melibatkan aspek pemakanan. Hanya itu caranya untuk mencegah kewujudan batu hempedu tepu kolesterol dalam pundi,” tegas Hairol.
Menurutnya lagi, makanan yang mengandungi kolesterol seperti makanan segera, berminyak dan berlemak adalah penyumbang utama dalam masalah pundi hempedu ini
Disebabkan faktor tersebut, mengikut statistik, 15 hingga 20 peratus daripada populasi masyarakat akan mendapat masalah batu hempedu terutama di negara Barat.
Dalam pada itu, jus hempedu dihasilkan oleh hati dan jus hempedu yang dikeluarkan setiap hari boleh menampung keperluan badan.
Walaupun hempedu dibuang, Hairol menjelaskan tiada kesan sampingan pada sistem tubuh manusia biarpun dengan ketiadaan organ tersebut.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm
No comments:
Post a Comment