Tuesday, August 11, 2009

Kisah orang gemuk


URIBE kini mengikuti diet ketat dan juga sesi senaman ringan. Foto dirakam oleh AP semasa satu temu bual di kediaman Uribe di Monterrey, Mexico pada Mac lalu.


MANUEL Uribe, 44 pernah menggemparkan dunia apabila memiliki berat badan 597 kilogram. Berat itu telah melayakkannya untuk disenaraikan sebagai lelaki paling berat di dunia oleh Guinness Book of Records.

Lelaki tersebut menghadapi masalah obesiti yang serius sejak 1992 dan pernah cuba membunuh diri beberapa kali kerana kecewa dengan keadaan dirinya. Uribe dikatakan mula tidak menghiraukan berat badannya dan menjadikan makanan sebagai cara melepaskan tekanan selepas ibu bapanya meninggal dunia.

Namun, lelaki yang pernah meminta pertolongan dunia untuk menurunkan berat badannya pada tahun 2006 itu sekali lagi mencatatkan namanya di dalam Guinness Book of Records sebagai lelaki yang kehilangan berat badan paling banyak.

Sehingga penghujung tahun 2008, Uribe telah berjaya menurunkan hampir 360 kilogram dan masih meneruskan usahanya untuk menguruskan badan.

"Saya bangga kerana tersenarai dalam buku Guinness Book of Records sebagai lelaki tergemuk dunia. Saya juga gembira kerana telah menurunkan berat badan dengan banyak," katanya.

Biarpun masih tidak mampu berjalan, Uribe mengakui bahawa dia berjaya mengurangkan berat badan setelah mengikuti program diet yang dikenali sebagai The Zone. Program itu bertujuan mengimbangkan hormon melalui pengambilan karbohidrat dan protein, selain menggunakan abah-abah untuk latihan angkat berat.

Sewaktu berusia 22 tahun, berat badannya mencecah 132 kilogram. Angka itu kemudiannya naik mendadak pada Mei 2006 sehingga mencecah 550 kilogram.


CUBA bergerak aktif dengan menguruskan diri mengikut kemampuan.


Dia kemudian mencecah berat maksimum dalam hidupnya iaitu 597 kilogram. Dia berazam untuk mengurangkan berat badan bagi memastikan dirinya boleh hidup lebih lama dan menjalani kehidupan normal seperti individu lain.

Akhirnya, Uribe bertemu jodoh dengan balu kepada rakan baiknya iaitu Claudia Solis. Wanita itu begitu setia dalam membantunya meneruskan misi menurunkan berat badan.

Tidak pernah bangun daripada katilnya selama lima tahun, dia akhirnya boleh keluar rumah menggunakan kren khas dan dibawa bersiar-siar menggunakan sebuah van yang telah diubah suai.

Uribe juga sudah boleh menggerakkan badan, melakukan regangan serta senaman ringan. Bagaimanapun dia masih tidak boleh berjalan dan berhasrat untuk menurunkan berat sehingga mencecah berat badan normal mengikut ketinggiannya.

Sementara itu, wanita yang pernah mencatatkan sejarah sebagai wanita yang paling berat dunia, Rosalie Bradford juga memegang rekod sebagai wanita yang paling banyak kehilangan berat badan.

Dilahirkan pada tahun 1943, Rosalie mencatat berat badan tertingginya 544 kilogram pada tahun 1987. Menghabiskan masa lapan tahun terbaring di katilnya, dia mula bersenam mengikut kemampuan berikutan menerima sokongan daripada teman-teman dan seorang guru, Richard Simmons.

Biarpun pada awalnya hanya mampu menepuk tangan mengikut rentak lagu daripada video aerobik Simmons, dia berjaya menurunkan berat badannya pada sebanyak 90 kilogram pada awalnya.

Rosalie yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) bertarung dengan masalah obesiti sejak kecil lagi. Ditinggalkan oleh ibu bapanya ketika usia enam tahun, anak kecil itu kemudiannya dibesarkan oleh keluarga angkat.


URIBE masih sukar mengatakan tidak pada makanan.


Apabila ibu angkatnya meninggal dunia ketika usianya mencecah 12 tahun, Rosalie menjadikan makanan sebagai jalan penyelesaian. Ketika bersekolah di gred lapan, badannya sudah seberat 63 kilogram.

Setiap hari, dia mengambil 10,000 kalori termasuk kopi, 10 keping keju, lima keping lempeng, telur dan kepingan daging, separuh kek coklat, satu mangkuk kentang lenyek dengan daging khinzir, sandwich, piza saiz besar bersama keju dan banyak lagi.

Masalah berat badan Rosalie membawa kepada keracunan darah pada kaki yang menyebabkan dia terpaksa melalui 12 pembedahan dan memerlukannya berehat selama 18 bulan. Keadaan ini membuatkannya semakin tertekan dan menjadikan makanan sebagai 'penawar'.

Tidak dapat bangun dari katil menyebabkan semua aktiviti dilakukan di dalam bilik, termasuklah menyambut Krismas. Untuk memandikan Rosalie sahaja memerlukan masa selama dua jam kerana terlalu banyak bahagian badannya yang perlu dibersihkan.


ROSALIE BRADFORD


Rosalie pernah mencuba untuk menurunkan berat badan tetapi gagal. Sehinggalah seorang teman menulis kepada Richard Simmons pada tahun 1989 untuk meminta pertolongan.

Dengan bantuan Richard, dia berjaya menurunkan sebanyak 331 kilogram. Rosalie akhirnya pada tahun 1992 berupaya menurunkan berat badannya kepada 136 kilogram. Bermakna, dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak lebih 400 kilogram.

Malangnya, Rosalie menemui ajal ketika menjalani salah satu daripada lima sesi pembedahan yang dilakukan bagi membuang kulit berlebihan. Dia mengalami komplikasi ringan yang membawa kepada maut dan menghembuskan nafas terakhir pada 26 November 2006 pada usia 63 tahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0810&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...