Monday, August 3, 2009

Lelaki rogol anak dibelasah penduduk

KUANTAN: Sekumpulan penduduk kampung nekad membelasah seorang lelaki selepas mengetahui perbuatan terkutuk lelaki itu yang merogol anak kandungnya sejak Disember tahun lalu di Balok, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, sekumpulan penduduk kampung mengepung rumah lelaki berusia 40 tahun itu sebaik mendengar cerita sedih mangsa.

Sebelum itu, mangsa berusia 14 tahun dan sudah tidak bersekolah duduk bersendirian di tepi pantai Balok dalam keadaan sedih dan enggan bertegur sapa dengan rakan sekampungnya walaupun dia disapa.


Bagaimanapun, pujuk rayu penduduk kampung yang bersimpati melihat keadaan mangsa akhirnya membongkar cerita mengejutkan apabila mangsa mendakwa menjadi hamba seks bapa sendiri sejak Disember tahun lalu.

Terkejut dengan luahan isi hati mangsa, sekumpulan penduduk kampung kemudian merancang menangkap bapa mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sebelum membelasah lelaki terbabit bergilir-gilir.

Lelaki terbabit dikatakan cuba melarikan diri tetapi gagal sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan, kelmarin.

Difahamkan, lelaki bernafsukan binatang itu sudah bercerai dengan isteri pertama yang juga ibu mangsa sebelum berkahwin dengan wanita lain.

Namun, isteri kedua lelaki itu melarikan diri tanpa diketahui sebabnya pada Oktober tahun lalu.

Mangsa sebelum ini tinggal bersama ibunya kemudian berpindah ke rumah bapanya sejak dua tahun lalu dan dipaksa melakukan hubungan seks berulang kali selepas ibu tirinya menghilangkan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...