Monday, August 3, 2009

Pelajar gempar

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Pelajar sebuah sekolah menengah agama di Gurun dekat sini, gempar, dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan dipercayai sudah dua hari meninggal dunia di dalam mangkuk tandas di sekolah itu, semalam.

Bayi yang cukup sifat dan lengkap bertali pusat itu ditemui tersangkut dalam saluran lubang najis di mangkuk tandas berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

Bayi seberat tiga kilogram itu ditemui dalam keadaan bogel dan dipercayai dibuang ke dalam mangkuk tandas itu sejurus selepas dilahirkan.


Difahamkan, mayat bayi malang itu ditemui seorang guru wanita sebelum memaklumkan kepada pengetua sekolah berkenaan yang melaporkannya kepada polis.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dipanggil ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat bayi yang tersepit dalam mangkuk tandas.

Difahamkan, seorang wanita berusia berusia 30-an yang mendapatkan rawatan di Hospital Yan dekat sini, kerana mengalami pendarahan teruk dipercayai akibat melahirkan anak, berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Wanita itu kini dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star kerana pendarahan yang dialaminya bertambah serius.

Wanita berkenaan juga tidak memaklumkan mengenai keadaan anaknya yang baru dilahirkan sekali gus menimbulkan persoalan kerana bayinya tiada bersama ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi sebaik pengetua sekolah terbabit membuat laporan di Balai Polis Gurun.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal polis, bayi berkenaan sudah dua hari meninggal dunia berdasarkan bentuk fizikalnya.

“Kami dapati darah dan tali pusat pada badan bayi itu sudah kering, menunjukkan bayi berkenaan sudah meninggal di dalam mangkuk tandas berkenaan sejak dua hari lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Hashim berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini, untuk bedah siasat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...