sarah@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang wanita mualaf dikesan bergiat aktif menawarkan pekerjaan sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah menengah kepada suri rumah sebelum melarikan barangan kemas milik mangsa.
Wanita dipercayai berusia 40-an itu mulanya datang ke rumah mangsa ketika suami masing-masing bekerja sebelum menawarkan pekerjaan berkenaan.
Mangsa turut ditaburkan janji manis mengenai gaji diberikan lumayan selain tidak perlu risau hal anak kerana mereka boleh membawa mereka ke kantin berkenaan.
Dalam kes terbaru Sabtu lalu, seorang suri rumah dikenali sebagai Fina berusia awal 30-an, berkata dia didatangi wanita itu ketika menjemur kain di rumahnya di Klang, Selangor.
Katanya, wanita berkenaan yang mempunyai empat anak berusia dua hingga enam tahun itu mengaku sebagai pengusaha katering dan sedang mencari pekerja kantin bagi sebuah sekolah menengah di kawasan berhampiran.
“Wanita itu bersungguh-sungguh menawarkan kerja berkenaan kononnya gaji yang diperoleh boleh membantu suami.
“Selain itu, wanita terbabit turut memaklumkan tiada apa perlu dirisaukan kerana saya boleh membawa anak ke sekolah berkenaan ketika bertugas,” katanya di sini, semalam.
Katanya, dia kemudian menghubungi suaminya untuk meminta kebenaran bekerja dengan wanita terbabit sebelum turut mengajak seorang lagi jirannya yang kebetulan mahu turut bekerja.
Mereka dibawa menaiki kereta milik wanita itu ke sebuah hospital di sini, kononnya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Beliau berkata, dia dan rakannya berasakan seolah-olah terkena ilmu ‘pukau’ apabila hanya mengikuti arahan wanita berkenaan agar menanggalkan barangan kemas dipakai dan barangan berharga serta memasukkannya ke dalam satu beg tangan.
“Kami berdua tidak mengesyaki apa-apa ketika itu dan hanya menuruti arahan wanita berkenaan seolah-olah ‘dipukau’,” katanya.
Selepas tiba di hospital, Fina melakukan pemeriksaan kesihatan dulu sementara rakannya menunggu di luar bersama wanita itu.
Bagaimanapun, rakannya yang menunggu di luar pergi ke tandas dan meninggalkan beg tangan itu kepada wanita berkenaan tanpa menyedari niat jahatnya.
“Namun, sebaik selesai melakukan pemeriksaan, saya mendapati wanita terbabit sudah tiada dan rakan saya pula baru keluar dari tandas.
“Apabila bertanya kakitangan di hospital berkenaan, saya dimaklumkan wanita terbabit sudah keluar dari hospital dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.
Fina berkata, beg yang dilarikan suspek tidak dijumpai hingga kini dan laporan polis sudah dibuat.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090803084749/Article/index_html
No comments:
Post a Comment