Thursday, April 29, 2010

Dibelasah separuh mati

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/04/29

KUALA LUMPUR: Hanya kerana ingin menjadi hero bagi mempertahankan maruah kekasih Melayunya daripada diusik sekumpulan penyangak miang, seorang pelajar Nigeria parah dibelasah lebih 10 lelaki tempatan yang ‘naik hantu’.

Difahamkan mangsa yang berusia 20-an dipukul beramai-ramai oleh samseng bersenjatakan botol arak, besi dan topi keledar ketika menyerang mangsa di hadapan sebuah restoran.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam, mangsa yang juga pelajar kolej singgah di sebuah restoran di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini, untuk menjamu selera.


Menurutnya, mangsa ditemani seorang lagi rakan lelakinya warga Afrika berusia 20 tahun ketika keluar bersama teman wanitanya itu.


“Namun ketika sedang berbual dengan kekasihnya, seorang lelaki tempatan yang duduk tidak jauh dari meja makan mangsa bertindak nakal mengusik gadis itu tanpa menghiraukan kehadiran lelaki Afrika berkenaan.


“Tindakan berulang kali suspek menyebabkan lelaki Afrika itu bangkit sebelum menegur perbuatan kumpulan lelaki berkenaan mengganggu teman wanitanya,”
katanya.


Namun, teguran mangsa menyebabkan seorang daripada suspek berang sebelum meluru lalu menghentam kepala mangsa dengan botol arak sekuat hati hingga pecah.


“Pada masa sama, beberapa rakan semeja suspek juga meluru sebelum membelasah mangsa dan rakan lelakinya beramai-ramai di hadapan teman wanita mangsa. “Ketika itu, gadis terbabit hanya mampu menjerit ketakutan dan meminta tolong, namun beberapa pelanggan lain yang berada berhampiran restoran itu tetapi enggan menghulurkan bantuan,” katanya.


Menurutnya, tidak berapa lama kemudian muncul lima motosikal model Honda EX5 dinaiki lima lagi rakan suspek yang turut sama membelasah dua pelajar Afrika berkenaan.

“Berdasarkan laporan, seorang daripada suspek yang bersenjatakan pisau menikam perut seorang mangsa selain mencederakan muka pelajar berkenaan yang dibelasah separuh mati.


“Difahamkan, seorang mangsa cuba lari sebelum dikejar kumpulan suspek. Mangsa bagaimanapun terjatuh di kawasan meletak kereta berhampiran sebelum dibelasah sekali lagi dengan besi dan topi keledar,”
katanya.


Menurutnya, suspek yang puas membelasah mangsa sehingga cedera parah kemudian melarikan diri dengan meninggalkan mangsa dalam keadaan pengsan.


“Pada masa sama seorang lelaki yang berada di lokasi kejadian menghubungi pusat kawalan polis Kuala Lumpur memaklumkan kejadian itu sebelum polis bergegas ke sana.

“Susulan itu, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.


Berdasarkan laporan polis, seorang mangsa yang berjaya lari menaiki kereta pulang ke rumahnya di Ampang. Mangsa yang parah kemudian dihantar ke hospital oleh pengawal keselamatan di pangsapurinya.


“Suspek juga melarikan barang berharga mangsa antaranya pasport, dompet duit, telefon bimbit dan jam tangan yang semuanya bernilai RM2,000,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dibelasahseparuhmati/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...