Thursday, April 29, 2010

e-mel anda: Nasib malang wanita

2010/04/26

MALANG sungguh bagi kaum wanita di negara ini apabila berlaku sesuatu musibah atau teraniaya selalunya mereka ini dipersalahkan dan jarang mendapat pembelaan, malah dituduh dengan pelbagai tohmahan tanpa usul periksa terutama masyarakat sekeliling.

Kaum hawa ini selalu menjadi alat memuaskan hawa nafsu lelaki berhidung belang hanya dengan diumpan pujuk rayu atau wang ringgit serta kadangkala dalam paksaan.


Apabila tertipu dan menyerahkan segala-galanya, lelaki itu akan menghilangkan diri dan tinggallah wanita terbabit terkontang-kanting dan yang hanya ditinggalkan ialah benih zuriat dan wanita berkenaan mengusung kandungan anak luar nikah ke hulu ke hilir.


Dalam keadaan perut membusung selain dihantui perasaan bersalah, pelbagai tanggapan bermain di benak. Antaranya takutkan hukuman jika rahsia bocor, dimalukan masyarakat, tidak mampu menyara bayi dan kesukaran menamakan anak di Jabatan Pendaftaran Negara.


Maka, ada yang mencari jalan singkat menghapuskan bayi tidak berdosa itu lalu dibuangkan ke merata tempat seperti di tong sampah atau jika bernasib baik ditinggalkan di pintu masjid.


Itulah senario yang berlaku boleh dikatakan setiap bulan dengan puluhan bayi menjadi mangsa di atas kezaliman ibu kandungnya sendiri.


Wanita tempatan juga mudah terpedaya sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan mereka ‘keldai’ membawa dadah dalam beg pakaian atau bungkusan untuk pasaran luar negara.


Golongan ini selalunya teraniaya dan apabila tertangkap di lapangan terbang di luar negara, barulah tahu mereka tertipu dan terpaksa meringkuk dalam penjara atau dihukum gantung mengikut undang-undang negara berkenaan.


Pembekal atau pemilik dadah pula terlepas tanpa ada sebarang tindakan. Berdasarkan laporan media, ketika ini, ratusan wanita kita tertangkap dan dikenakan hukuman di luar negara kerana dadah.

Ramai wanita kita juga menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi terutama daripada suami sendiri tanpa mendapat pembelaan sewajarnya, malah mereka dipersalahkan masyarakat kerana menganggap wanita itulah yang bersalah dituduh tidak tahu menjaga suami dan keluarga.


Apabila sudah jemu dibiarkan tanpa pembelaan yang akhirnya berlakulah perceraian dan kadangkala si suami menghilangkan diri dan si isteri pula terbiar tergantung tidak bertali.


Paling malang apabila mereka ini ditinggalkan tanpa sesen pun dengan anak yang masih kecil. Apabila dibawa ke mahkamah syariah kadangkala bertahun pula untuk mendapatkan penyelesaian disebabkan pembicaraan yang berlanjutan.


Wanita Melayu yang berstatus janda sukar pula berkahwin semula kerana terkongkong dengan adat resam, tetapi berlainan pula dengan lelaki paling mudah bernikah dengan sesiapa dan pada bila-bila masa saja. Selain itu, wanita kita juga mudah terpedaya dengan pujuk rayu lelaki Lombok, Indonesia yang melarikan mereka balik ke Lombok dan apabila kehidupan serba serbi susah di sana, barulah meminta bantuan untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Wanita Melayu terutama remaja perlu bimbingan dan hendaklah diberikan penerangan masalah di luar sana supaya mereka lebih berwaspada dengan tipu muslihat dan pujuk rayu sindiket yang cuba mencari keuntungan atau mengambil kesempatan ke atas mereka.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/e-melanda_Nasibmalangwanita/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...