2010/04/29
KUALA LUMPUR: “Biarlah mahkamah dan undang-undang tentukan sama ada saya bersalah atau tidak kerana berkahwin lain walaupun suami mengatakan saya masih lagi isterinya yang sah,” kata wanita yang dilapor ‘memadukan’ suaminya.
Suaminya seorang pemandu teksi, Azman Ahmad, 49, mendakwa dia berkahwin lain sedangkan masih bergelar isteri yang sah.
Wanita terbabit yang tidak mahu dikenali berkata, dia tidak tahu motif sebenar lelaki itu mengatakan mereka masih suami isteri sedangkan suaminya sudah melafazkan talak kepada dia di depan dua ahli keluarganya dan bukan secara terpaksa seperti didakwa.
Menurutnya, dia juga agak terkejut dengan pendedahan suaminya itu kerana mereka sebelum ini tiada sebarang masalah dan selalu berhubung antara satu sama lain, sekalipun sudah hidup berasingan.
“Dia tahu saya tinggal dan bekerja di mana serta sering berhubung melalui telefon. Saya tidak faham kenapa dia buat macam ini dan saya serahkan kepada pihak berkuasa tentukan kedudukan kami yang sebenar.
“Mungkin ada sedikit kekeliruan dan salah faham berhubung kes kami ini, saya juga tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal itu cuma berharap ia dapat diselesaikan dengan cara baik dan segera,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya lagi, memang betul dia tinggalkan suami dan rumah, namun itupun selepas suaminya berkahwin lagi satu dan dia mendapatkan kebenaran tinggal berasingan.
“Mana mungkin saya boleh tinggal satu bumbung dengan ‘madu’ saya dan berkongsi kasih, saya ambil keputusan untuk tinggal di rumah lain selepas berbincang dan mendapat persetujuan suami,” katanya.
Menurut wanita itu lagi, dia memang sudah berkahwin lagi dan suami barunya itu tahu mengenai kedudukannya serta hubungan mereka masih baik sekalipun selepas membaca dakwaan suami lama. “Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkahwinan saya itu, biar masa dan keadaan yang tentukan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayasudahdicerai/Article
No comments:
Post a Comment