Thursday, April 8, 2010

Peras ibu bapa RM15,000

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/08

SHAH ALAM: ‘Lakonan’ mantap seorang pelajar sebuah kolej bersama teman lelakinya menipu ahli keluarga dengan mendakwa dia diculik akhirnya memakan diri apabila dia dicekup sepasukan polis.

Pelajar jurusan Diploma Farmasi sebuah kolej di ibu kota berusia 21 tahun itu dikatakan membuat pakatan jahat dengan teman lelakinya untuk memeras ugut ahli keluarganya yang tinggal di Gombak supaya menyerahkan RM15,000 sebagai wang tebusan sekiranya mahu anaknya dibebaskan.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Sabtu lalu, bapa pelajar terbabit dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa anak perempuannya diculik di belakang sebuah kedai kopi berhampiran sebuah pasar raya di Taman Seri Selayang, dekat sini.


Sebagai pertukaran, lelaki terbabit meminta mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya sebelum mangsa membuat laporan polis.


Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, susulan aduan itu, sepasukan polis membuat siasatan terperinci sebelum membuat dua serbuan kira-kira jam 8 malam dan 11.50 malam kelmarin di sekitar kawasan berkenaan dan menahan tiga suspek termasuk wanita terbabit.


“Hasil siasatan ke atas ketiga-tiga suspek, wanita itu mendakwa terpaksa membuat panggilan palsu kononnya diculik kerana teman lelakinya menghadapi masalah kewangan.

“Manakala seorang lagi suspek adalah rakan kepada lelaki terbabit dan idea jahat itu dipercayai didalangi teman lelaki pelajar terbabit,” katanya di sini, semalam.


Siasatan juga mendapati pelajar terbabit keluar dari asramanya dengan membawa semua pakaiannya pada 3 April lalu dan tinggal bersama teman lelakinya di sebuah rumah di sekitar Gombak.


Omar berkata, mangsa belum memasukkan wang yang diminta suspek dan kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di Selangor.


“Ketiga-tiga suspek terbabit direman seminggu sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menculik.


“Kami juga menasihatkan orang awam supaya tidak membuat kerja bodoh sebegini kerana implikasinya buruk selain mengganggu polis untuk melakukan kerja lebih berfaedah,”
katanya.

Selain itu, katanya, polis juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menerima panggilan telefon terutama dari luar negara mendakwa anak mereka menjadi mangsa culik.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PerasibubapaRM15_000/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...