2010/04/26
KOTA BHARU: Akibat tertekan dengan masalah keluarga, seorang murid perempuan tahun lima dipercayai cuba membunuh diri selepas naik ke tingkat empat bangunan di sekolahnya dekat Kandis, Bachok, pagi semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, murid itu berjaya diselamatkan selepas dipujuk seorang guru kaunseling dan dibantu seorang lagi guru termasuk penyelia asrama. Sebelum kejadian, murid terbabit dikatakan naik ke tingkat empat melalui stor bilik dan dipercayai memanjat pintu jeriji sebelum duduk dengan kaki berjuntai ke bawah di penjuru bangunan berkenaan.
Difahamkan, kejadian hanya disedari ketika guru kaunseling terbabit yang berusia lingkungan 30-an apabila lalu di kawasan sekitar sekolah berkenaan.
Sejurus kemudian, guru terbabit nekad naik ke tingkat empat bangunan berkenaan dan terkejut apabila melihat seorang muridnya duduk di situ.
Ketika itu, guru kaunseling sempat memujuk murid terbabit beberapa minit, sebelum segera memegang mangsa untuk menyelamatkannya daripada terjatuh.
Selepas membawa murid itu turun, dia menceritakan kejadian itu dipercayai daripada masalah keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saipu Bahri Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.05 pagi.
Menurutnya, dia bersama seorang lagi anggota bergegas ke sekolah berkenaan dan sebaik sampai murid terbabit sudah pun diselamatkan dengan bantuan guru.
“Saya difahamkan murid terbabit cuba membunuh diri dengan memberanikan diri naik ke tingkat empat bangunan sekolah berkenaan.
“Bagaimanapun, dengan bantuan guru sekolah itu, dia akhirnya berjaya diselamatkan. Saya juga terharu dengan dengan sikap keberanian guru sekolah berkenaan kerana bertindak dengan cepat,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Muridcubabunuhdiri/Article
No comments:
Post a Comment