Monday, April 26, 2010

Terpikat godaan ‘janda’ asing

Oleh Shamsul Munir Safini

2010/04/26


KUALA LUMPUR: Sekumpulan wanita warga asing yang berlakon sebagai janda yang kematian suami bergiat aktif menipu lelaki terutama yang sudah berkeluarga bagi menyara kehidupan mereka di sini serta keluarga di kampung halaman.

Kumpulan yang menipu menggunakan pujuk rayu bagi menagih simpati dengan menjaja cerita sedih mereka sebagai janda, mengharapkan golongan suami berkenaan ‘lentok’ di pangkuan mereka.


Tindakan licik dengan modus operandi mereka yang meminta wang dalam jumlah tertentu dipindahkan terus ke dalam akaun melalui Internet, ternyata memudahkan mereka melarikan diri tanpa dikesan.


Penipuan mereka bagaimanapun disedari dua isteri yang mendapati suami mereka menjadi mangsa kumpulan wanita rakus itu sebelum seorang daripada mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.


Seorang dari mereka ialah ibu enam orang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Salihah, 52.


Salihah berkata, sudah lima tahun dia diherdik dan diganggu kumpulan mengaku janda terbabit. Katanya, walaupun perkara itu sudah lama berlarutan, suami mereka tidak pernah serik walaupun sedar ditipu puluhan ribu ringgit.


Ketika ditemui di sini, dia berkata, pada awalnya aktiviti wanita mengaku janda itu tidak disedarinya walaupun suaminya jarang pulang ke rumah.


Bukan itu saja, katanya, suaminya juga sering tidak mempunyai wang apabila diminta sebaliknya meminta wang darinya.


Kata Salihah, perkara itu terbongkar selepas diberitahu rakannya bahawa suaminya selalu dilihat bersama seorang perempuan dari negara jiran di sebuah kedai makan di Pekan Subang di sini.

“Sejak terkena penangan janda ini, suami saya sentiasa panas baran, pantang ditanya, dia akan melenting malah melontarkan kata-kata kesat, malah pernah mencabar maruah saya dengan mempelawa rakannya untuk berasmara dengan saya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terpikatgodaan__8216_janda__8217_asing/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...