HATI mana yang tidak rawan apabila melihat anak yang selama ini membawa keceriaan kini hanya mampu terlantar di atas katil. Sesekali apabila teringat keletahnya yang selama ini lincah dan menghiburkan seisi keluarga, air mata mula membasahi pipi.
“Ibu bapa mana pun tidak akan sampai hati untuk melihat keadaan anak yang terlantar begini. Dia masih muda untuk melalui semua kesakitan ini.
“Namun, saya bersyukur. Nyawanya masih panjang walaupun sudah lebih setahun dia koma.
“Semangatnya yang kuat memberi kami harapan untuk melihatnya sembuh seperti biasa,” ujar Othman Awang, 54.
Bapa kepada Noorizzati, 10, sudah puas menangis mengenangkan nasib anak keempat daripada lima beradik itu. Noorizzati dimasukkan ke hospital 29 Mac 2009 selepas pengsan di rumah.
“Pagi itu Izzati bangun seperti biasa untuk ke sekolah. Masa (dia melangkah) mahu ke bilik air, dia kata sakit tengkuk. Saya pun fikir itu cuma lenguh biasa. Saya capai botol minyak angin lalu mengurut belakang lehernya.
“Tak lama kemudian, anak saya muntah-muntah dan terus pitam. Kami bawa dia ke Hospital Sungai Petani sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” kata Othman ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.
Menurut Othman, anaknya yang terlantar di hospital itu koma disebabkan masalah saraf. Selepas 13 bulan tidak sedarkan diri, anaknya kini hanya mampu menggerakkan jari tangan dan kaki.
“Memang tak sangka kejadian ini boleh menimpa Izzati. Sebelum ini dia tidak ada masalah kesihatan dan sentiasa ceria. Malah sehari sebelum kejadian itu, dia masih rancak bermain dengan kawan-kawannya.
Otak bengkak
“Sekarang isteri saya, Rokiah Yusof, 45, menunggunya di hospital.
“Dua minggu sekali, saya akan menaiki bas dari Baling ke Alor Setar untuk menjaga Izzati sementara isteri pulang dan berehat di rumah,” cerita Othman yang meraih pendapatan sebagai penebang pokok.
Lebih memilukan, dia terpaksa meninggalkan anak bongsunya yang berumur dua tahun untuk dijaga saudara-mara atau jiran setiap kali keluar bekerja.
Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur, Dr. Mohammed Saffari Mohammed Haspani, koma adalah suatu situasi kecemasan menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri dan tidak boleh memberi tindak balas walaupun diberi rangsangan yang menyakitkan.
Bukan sekadar itu, koma juga akan menyebabkan tahap kepekaan pesakit terhadap keadaan sekeliling menjadi amat rendah.
“Koma boleh terjadi atas pelbagai sebab termasuk kecederaan otak, penyakit kritikal seperti kencing manis, buah pinggang, sawan, strok, ketumbuhan dalam otak dan jangkitan kuman yang telah merebak ke dalam otak dan selaput luarnya.
“Bagaimanapun, kemalangan jalan raya adalah punca utama koma, malah setiap hari ada pesakit yang dimasukkan ke hospital kerananya,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Jelas Saffari, koma yang disebabkan oleh kecederaan otak boleh membawa kesan besar terhadap pesakit kerana ia membabitkan bahagian yang mengawal fungsi tubuh.
Pesakit yang datang dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan tulang belakang turut berisiko mengalami masalah otak membengkak dan lebam selain kecederaan pada tisu otak serta retak tempurung kepala.
Selain itu, pesakit yang mengalami kerosakan pada pangkal otak juga boleh mengalami koma kerana kecederaan itu boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas, anak matanya mengecil dan berdepan dengan masalah-masalah lain.
Pengsan
Menurut Saffari, keadaan pesakit ketika dibawa ke hospital bakal menentukan keputusan akhir ujian atau pemeriksaan terhadap pesakit koma.
“Pesakit koma perlu dibawa terus berjumpa paramedik untuk didiagnosis.
“Memandangkan pesakit tidak sedarkan diri, maklumat yang diberitahu oleh orang yang menghantar (pesakit) sangat membantu pakar perubatan untuk menetapkan kaedah rawatan terbaik.
“Adakalanya, pesakit yang tenat memerlukan pembedahan segera. Sekiranya terdapat pesakit yang tidak sedarkan diri, jangan ambil mudah (kes itu) dengan menganggapnya hanya pitam.
“Membiarkan pesakit pengsan boleh memburukkan keadaan dan mengakibatkan komplikasi yang lebih teruk. Malah, kelewatan memberi rawatan kepada mereka boleh membawa kepada kematian,” ujarnya.
Saffari yang mempunyai pengalaman 24 tahun dalam bidang kaji saraf menjelaskan beliau sering dihujani persoalan seperti bila dia akan sedar, adakah peluangnya untuk hidup tinggi atau adakah dia perlu bergantung kepada orang lain selepas sedar?
Rasa sakit
“Ia sesuatu yang sukar untuk dijawab. Kita tidak boleh meneka sebaliknya perlu melihat kepada situasi kesihatan pesakit.
“Ada pesakit koma beberapa jam sahaja dan ada yang koma berhari-hari. Saya juga sering berdepan dengan kes koma yang makan masa berbulan-bulan malah ada juga yang tidak sedarkan diri lebih dari setahun.
“Kebiasaannya pesakit kanak-kanak atau orang muda lebih cepat sedar berbanding warga emas.
“Disebabkan itu, cara rawatan yang diberikan juga berbeza. Untuk golongan muda, rawatan yang diberikan adalah lebih agresif,” jelasnya.
Tahap koma pesakit pula boleh ditentukan melalui siri pemeriksaan dan ujian.
Menurut Saffari, pakar perubatan akan memberi sedikit rangsangan kepada pesakit untuk melihat tindak balasnya.
Sekiranya tiada tindak balas, pesakit akan diberi sedikit rangsangan kesakitan. Pada peringkat ini, ada pesakit yang mampu sedar namun kembali koma.
Namun, sekiranya pesakit langsung tidak memberi sebarang tindak balas walaupun dirangsang rasa sakit, mereka akan dikelaskan dalam peringkat koma yang paling teruk.
“Doktor akan menilai tahap koma pesakit berdasarkan tindak balas yang diberikan berpandukan Skala Koma Glasgow.
“Dalam penilaian itu, terdapat tiga komponen penting yang memberi petunjuk bahawa pesakit tersebut mampu berinteraksi dengan rangsangan iaitu membuka mata, respons lisan dan respons motor atau pergerakan,” jelas Saffari.
Setiap ujian rangsangan tersebut berperanan dalam menentukan indeks koma pesakit sama ada peringkat jaga, tidak bertenaga, stupor iaitu tidak boleh berfikir atau mendengar dan koma.
“Skala minimum adalah tiga, mewakili koma yang kritikal dan nilai maksimum ialah 15, mewakili keadaan koma yang tidak teruk.
“Bagaimanapun, bacaan pada skala ini boleh berubah. Ada pesakit yang datang dengan bacaan 13 dan beberapa jam berikutnya, skala menurun kepada 10 atau lapan menjadikan kes itu sebagai kritikal.
“Sebanyak 40 peratus daripada kebanyakan kes koma dengan bacaan lapan akan berakhir dengan kematian,” jelasnya.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm
No comments:
Post a Comment