am@hmetro.com.my
2010/04/08
KUALA LUMPUR: Mengaku cucu sultan, seorang lelaki bijak menggunakan kata-kata menipu rakan dikenalinya melalui laman sembang Facebook menginap di hotel mewah dan mengadakan parti hinggakan semua mangsa kini menjadi buruan hotel bertaraf lima bintang berkenaan kerana gagal membayar bil.
Bagaimanapun, ‘Cucu Sultan’ putar belit berusia awal 20-an itu akhirnya tumpas apabila dia yang menjadi buruan polis kerana kesalahan menipu dipercayai membabitkan wang lebih RM300,000 ditahan di sebuah kedai makan di Shah Alam, baru-baru ini.
Lelaki terbabit dipercayai menggunakan taktik di menjadikan rakan dikenalinya dalam laman sembang Facebook sebagai mangsa penipuan.
Menurut seorang mangsa dikenali sebagai Zul, 28, dia pada mulanya mengenali lelaki berkenaan dalam laman Facebook dan lelaki terbabit mendakwa kerabat diraja dan sejak itu mereka menjadi rakan.
“Secara kebetulan, saya dan 13 lagi rakan menganjurkan satu percutian di Kota Kinabalu, Sabah Oktober tahun lalu dan lelaki berkenaan yang mengetahui rancangan kami mahu turut serta,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya dia hanya menganggap lelaki digelar ‘Tengku’ itu bergurau, namun terkejut apabila dia keesokannya menghubungi memberitahu turut berada di Sabah.
“Saya menerima panggilan Tengku yang mengatakan berada di Sabah dan menginap di sebuah hotel mewah.
“Selain itu, dia turut menjemput saya dan 13 rakan lain ke parti sempena menyambut ulang tahun kelahiran saya kebetulan jatuh pada hari sama,” katanya.
Katanya, ketika tiba di hotel itu, mereka terkejut kerana parti dianjurkan itu sangat meriah dan mewah, menambahkan keyakinan mereka kepada lelaki berkenaan.
“Kami dilayan seperti orang kenamaan dan ‘Tengku’ mengatakan dia akan menanggung segala kos selain meminta kami tidak perlu bimbang.
“Tidak cukup dengan itu, dia minta kami berpindah dari hotel lama ke hotel terbabit dan mendakwa segala kos ditanggungnya,” katanya. Menurutnya, kerana terpengaruh dengan kata-kata itu, dia dan rakan mengikut kehendak lelaki terbabit kerana menyangkakan dia benar-benar ikhlas.
“Ketika menginap di hotel berkenaan, kami diberikan layanan yang cukup istimewa, lebih-lebih lagi lelaki terbabit diberikan penghormatan kakitangan di situ.
“Semua berjalan lancar dan kami pulang semula ke sini dan saya langsung tidak mencurigai lelaki berkenaan sebenarnya kaki penipu,” katanya.
Bagaimanapun, beberapa hari, selepas pulang, Tengku menghantar SMS dan semua rakannya memaklumkan yang dia (suspek) kini berada di London bagi pembedahan serta memerlukan RM500 daripada setiap seorang.
Tengku memberikan nombor akaun banknya kepada mangsa dan 13 lagi rakannya untuk memasukkan wang.
Mangsa berkata, dia berasa curiga tindakan lelaki terbabit sebelum menyoal lanjut mengenai pembedahan berkenaan, namun suspek dikatakan ‘tertangkap’ apabila gagal memberitahu waktu sebenar di London.
“Selepas mengetahui hal itu, saya terus menghantar SMS kepada semua rakan memaklumkan penipuan lelaki berkenaan, namun seorang rakan saya sudah memasukkan RM500 seperti diminta.
“Saya terus menyiasat lelaki berkenaan melalui akaun bank diberinya sebelum mengetahui nama sebenar suspek dan dia bukan cucu sultan seperti didakwa,” katanya. Mangsa juga terkejut dihubungi pengurus hotel mewah, tempat dia dan rakannya dipelawa suspek menginap di Kota Kinabalu.
Menurutnya, dia hampir pengsan selepas mengetahui bil sewa bilik dan parti dianjurkan kira-kira RM35,000 belum dijelaskan dan nama mereka sudah disenarai hitam.
Mangsa dan rakannya membuat laporan polis.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tengku__8217_kakibelit/Article
No comments:
Post a Comment