anbia@hmetro.com.my
2010/05/05
SUBANG JAYA: Berang selepas mengetahui suaminya menjalinkan hubungan cinta terlarang dengan gadis lain, seorang wanita sanggup bergelut dengan kekasih suaminya itu sehingga luka di muka akibat dilibas dengan tapak kasut oleh gadis yang menjadi sasarannya.
Difahamkan, isteri berusia 46 tahun itu terlebih dahulu bertengkar dengan teman wanita suaminya berusia 30-an sebelum pergaduhan kedua-dua mereka berlanjutan sehingga berlaku pergelutan dan aksi tarik menarik rambut dalam wad sebuah hospital swasta di sini.
Ketika kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, suami wanita itu membawa kekasihnya menziarahi seorang saudaranya yang dirawat di hospital berkenaan sebelum terserempak isterinya.
Sumber polis berkata, siasatan mendapati suami wanita terbabit berusia 51 tahun dan juga pesara tentera pernah menjalin hubungan sulit dengan wanita lain sebelum ini.
Menurutnya, dalam kejadian itu, lelaki terbabit tidak dapat berbuat apa-apa apabila kedua-dua wanita berkenaan bergelut sehingga mencetuskan kekecohan dalam wad hospital berkenaan.
“Difahamkan lelaki itu yang tiba lebih awal tidak menyangka isterinya turut merancang menziarahi saudara mereka.
“Akibatnya, mereka bertembung. Akibat terlalu marah dan cemburu, si isteri memarahi teman wanita suaminya sebelum berlaku perang mulut,” katanya.
Menurutnya, akibat tidak dapat menahan marah, kedua-dua wanita terbabit bergelut tanpa menghiraukan orang ramai yang menyaksikan insiden itu.
“Difahamkan, kedua-dua wanita itu tidak hanya memaki-hamun, malah turut bertumbuk dan saling menarik rambut.
“Difahamkan, teman wanita suami mangsa lebih kuat dan dapat menewaskan isteri teman lelakinya itu,” katanya.
Dalam pergelutan itu, kekasih suami mangsa sempat mencabut kasut dipakainya sebelum memukul muka mangsa.
“Muka mangsa luka akibat dilibas dengan kasut sebelum pergaduhan dileraikan.
“Wanita itu terpaksa menerima dua jahitan di muka kerana luka akibat dipukul dengan kasut. “Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gasakkekasihsuamidalamwad/Article
No comments:
Post a Comment