Wednesday, May 5, 2010

Peragut didakwa, jatuh hukuman pada perbicaraan pertama sesi malam

2010/05/05

IPOH: Seorang peragut bukan saja mencipta rekod tersendiri menghadiri sesi pertama perbicaraan mahkamah pada sebelah malam di Mahkamah Sesyen Ipoh malam tadi, malah turut menjadi tertuduh pertama dijatuhkan hukuman.

Mohammad Azuanizam Shah Mohd Shafie, 22, yang menjadi tertuduh pertama sesi perbicaraan mahkamah sesi malam itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas kesalahan ragut dilakukannya pada 22 April lalu. Tertuduh berasal dari Kampung Tersusun Tasek, di sini, didakwa melakukan samun terhadap Fong Lai Yean, 34, dengan meragut rantai leher emas bernilai sekitar RM300, pada kira-kira jam 8.45 pagi pada 22 April lalu.


Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak.


Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku bersalah dan merayu mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadapnya.


Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, Tan Hoi Leng, berkata, kesalahan ragut adalah kes jenayah semakin berleluasa di kalangan masyarakat kini dan mereka yang bersalah sepatutnya menerima hukuman setimpal.


Pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jasli Mohd Yusuf.


Ketika pertuduhan dibacakan, pihak pendakwa mengemukakan beberapa bukti kes termasuk salinan laporan polis oleh mangsa, laporan polis tangkapan semula tertuduh, rantai leher emas milik mangsa dan dua keping gambar lokasi kejadian samun.


Jasli berkata, pihaknya boleh memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh dan berdasarkan sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peragutdidakwa_jatuhhukumanpadaperbicaraanpertamasesimalam/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...