Wednesday, May 5, 2010

Lelaki pelat ketua perompak

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my
2010/05/05

SERI KEMBANGAN: Biarpun pelat namun seorang lelaki berusia awal 20-an yang menjadi ketua kumpulan jenayah dikenali sebagai Geng Pelat sudah melakukan lebih 20 rompakan terhadap pelanggan bank.

RAMPAS...Zainal menunjukkan peralatan milik penjenayah yang dirampas, semalam.
RAMPAS...Zainal menunjukkan peralatan milik penjenayah yang dirampas, semalam.
Suspek yang bergerak berkumpulan dikesan menjadikan mangsa di kalangan pelanggan bank yang baru mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai sasaran.


Difahamkan, penjenayah yang mula aktif awal Januari lalu melakukan kes rompakan di kawasan Subang Jaya, dengan bersenjatakan parang dan pisau yang kebiasaannya dilakukan seawal jam 6 pagi hingga 8.30 pagi.


Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata dalam kejadian terbaru 17 April lalu, seorang lelaki berusia 41 tahun yang mengeluarkan wang dari mesin ATM sebuah bank di bandar Sunway, diugut sekumpulan lelaki menyerahkan wang RM4,000 yang baru dikeluarkannya.


“Mangsa berjaya mencatatkan nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek sebelum polis menjejaki kenderaan terbabit di Subang Jaya, petang kelmarin.


“Polis juga berjaya menahan seorang lelaki ketika hendak ke kereta terbabit.


“Hasil soal siasat, polis menyerbu rumah suspek di sebuah kondominium Bukit Puchong dan menjumpai wang RM6,000 serta beberapa mata wang asing, tiga nombor plat kenderaan palsu, sebilah parang dan pisau serta tiga topi keledar. Seorang lagi rakan suspek turut ditahan,” katanya di sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini.


Katanya, siasatan awal mendapati geng berkenaan terbabit 20 kes rompakan dan samun.


“Kedua-dua suspek berusia 20 dan 27 tahun itu kini direman tujuh hari,” katanya.

Difahamkan, nilai kerugian membabitkan semua mangsa berjumlah lebih RM20,000. “Polis turut merampas dua motosikal yang dipercayai digunakan dalam beberapa siri rompakan,” katanya.


Zainal berkata, hasil pemeriksaan mendapati ketua geng itu mempunyai empat rekod mencuri dan samun di Lembah Klang serta positif syabu. Seorang lagi rakan mereka berusia 21 tahun masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakipelatketuaperompak/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...