Saturday, May 1, 2010

Ihsan menjelma

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
2010/05/01

MUAR: “Semua barang boleh digunakan untuk kenduri tahlil dan bacaan surah Yasin.” Begitulah reaksi spontan Zuliha Yahya, 42, yang terpaksa menagih belas ihsan bagi menguruskan jenazah dua anaknya yang mati lemas pada Isnin lalu, sebaik menerima sumbangan wang tunai dan barangan makanan.

Penderitaan Zuliha dan suami, Razak Manap, 52, serta lima anak mereka berusia antara satu hingga 23 tahun akhirnya mendapat perhatian pelbagai pihak dan antara yang terawal menyampaikan sumbangan ialah pasar raya besar Econsave di sini, yang menyumbangkan barangan dapur serta wang tunai dianggarkan bernilai RM1,500, semalam.


Zuliha berkata, sejak kisah keluarganya disiarkan akhbar ini, dia menerima reaksi positif daripada masyarakat setempat termasuk menerima kunjungan daripada pejabat agama Islam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cawangan Muar, pagi semalam.


“Rumah kami didatangi pegawai kerajaan dan pemimpin setempat untuk menyampaikan sumbangan,” katanya yang turut menerima sumbangan wang tunai daripada Econsave bernilai RM450.


Namun, episod sedih keluarga Zuliha bagaikan tidak berhenti di situ saja apabila dia menceritakan kini anak sulungnya, Fara Zuliana, 23, terpaksa berulang-alik ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) bagi mendapatkan rawatan penyakit ganjil yang digelar orang kampung sebagai kenan orang mati.


“Selepas pemergian dua adiknya, Along (panggilan untuk Fara) sering meracau-racau dan kadang-kala bertindak aneh seperti berenang untuk menyelamatkan diri macam dia sedang lemas,” katanya.


Malah, anaknya turut menjadikan lopak kecil air di depan rumah sewa milik sebagai ‘sungai’ tempat dia berenang.


Sementara itu, Pengurus Pemasaran Econsave, Mas Imran Adam, berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada bantuan untuk meringankan beban keluarga terbabit.


“Ia juga sebagai tanggungjawab sosial syarikat kepada masyarakat. Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, namun diharap dapat membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Penyampaian sumbangan itu dilakukan Pengurus Cawangan Econsave Muar, Aw Wee Siang diiringi beberapa pekerja syarikat itu.


Dalam kejadian itu, dua anak Zuliha, Muhammad Fadzly, 15, dan Muhamad Syafiq, 11, lemas dipercayai selepas motosikal yang mereka naiki ketika pulang dari Sekolah Kebangsaan Parit Bunga, terbabas ketika hujan lebat dan memasuki parit di Sungai Mati.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ihsanmenjelma/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...