Saturday, May 1, 2010

'Suamiku tiada hati perut'

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/05/01

PORT DICKSON: “Ada dia kisah dengan anak dia ke...? Dia tidak tahu bagaimana peritnya saya meneruskan hidup membesarkan dua anak tanpa duit belanja walau sesen pun,” kata ibu muda beranak dua, Syamsiah Mohd Ali, 23, yang ditinggalkan suaminya sejak November lalu.

Nasib Syamsiah dan dua anaknya yang masih kecil, Zulaikha Zuilkafli, tiga tahun dan Zulkarnain, setahun, terumbang-ambing selepas mendakwa ditinggalkan suami, Zuilkafli Yusof, 25, yang dipercayai bermain kayu tiga dan menghilangkan diri bersama teman wanitanya sejak enam bulan lalu.


Malah, mangsa mendakwa digantung tidak bertali di Kampung Bukit Tongkat, Pasir Panjang, dekat sini.


Zulkifli yang dianggap suami terbaik dan beriman serta bersifat penyayang dan bertanggungjawab tiba-tiba bertukar menjadi orang hilang pedoman apabila meninggalkan keluarganya.


Menurut Syamsiah, perselisihan faham berlaku selepas dia menghidu suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.

Katanya, selepas tembelangnya pecah, suami yang dinikahi pada April 2007 itu nekad keluar dari rumah meninggalkan mereka tiga beranak dan melafazkan talak.


Dia mendakwa suaminya yang bekerja sebagai nelayan bersama bapanya tidak mengenang budi atau bersyukur serta sering memandang rendah terhadapnya.


“Kami ditinggalkan di rumah ibu bapa saya tanpa nafkah sejak November lalu sedangkan dia tahu saya tidak bekerja. Dia tidak pernah mempedulikan saya sebagai isteri setia. “Saya sangka dia boleh mendidik serta menjaga kami namun sangkaan itu nyata meleset,” katanya.


Syamsiah berkata, enam bulan selepas itu dia melaporkan kejadian di Pejabat Agama Islam Port Dickson serta memohon fasakh di Mahkamah Syariah.

Namun, tiba-tiba suaminya itu juga muncul menafikan pernah menceraikannya.


“Walau apapun terjadi, saya tidak sanggup menerimanya semula selepas apa yang dilakukan,” kata Syamsiah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamikutiadahatiperut/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...