Saturday, May 1, 2010

Remaja iblis

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/01

SUBANG JAYA: Baru berusia belasan tahun, namun seorang remaja lelaki sudah menunjukkan sifat iblis apabila tergamak memperdaya sebelum mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Lebih menjijikkan suspek mencabul mangsa yang juga pelajar darjah dua di dalam kelas kosong di sebuah sekolah rendah di sini.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam kira-kira 3 petang itu pelajar perempuan berkenaan dikatakan berada di hadapan sekolah menanti van yang biasa mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah.


“Namun, ketika kejadian van berkenaan masih belum sampai ke kawasan sekolah menyebabkan kanak-kanak perempuan itu hanya menunggu di luar perkarangan sekolah.


“Kesempatan itu diambil suspek mendekati mangsa sebelum berpura-pura memberitahu diarah untuk menjemput mangsa pulang ke rumah,”
katanya.


Menurutnya, suspek memberitahu akan membawa mangsa bertemu dengan ibu mangsa yang didakwa berada tidak jauh dari pagar sekolah berkenaan.


“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian terus mengekori suspek sehingga ke hadapan sebuah sekolah lain bersebelahan dengan sekolah mangsa.


“Suspek kemudian mengajak mangsa masuk ke dalam kawasan sekolah terbabit, namun mangsa yang mula curiga enggan akur permintaan remaja terbabit,”
katanya.


Menurutnya, mangsa diugut akan dicederakan jika enggan akur sebelum dicabul di dalam bilik darjah yang terletak di tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Difahamkan suspek mencabul mangsa selama beberapa minit dan mangsa melarikan diri menuju ke hadapan sekolahnya dalam keadaan ketakutan.


“Pemandu van sekolah yang mengambil mangsa bagaimanapun mengesyaki sesuatu tidak kena apabila mangsa dilihat dalam keadaan trauma. Malah, ketika ditanya berhubung beg sekolahnya yang hilang, suspek hanya mendiamkan diri sebelum dihantar pulang ke rumah.


“Bagaimanapun ibu bapa mangsa yang berulang kali cuba memujuk mangsa membuka mulut akhirnya terkejut apabila diberitahu diraba dan dicabul lelaki tidak dikenali,” katanya.


Susulan itu ibu bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya sebelum mangsa dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesan air mani pada tubuh mangsa dipercayai milik suspek yang mencabulnya. Polis kini sedang memburu remaja terbabit yang dipercayai seorang pelajar,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajaiblis/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...