Tuesday, May 4, 2010

Jual bayi dalam perut

Oleh Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/05/04

SELAYANG: Berselindung di sebalik pekerjaan sebagai ejen membekalkan pembantu rumah warga asing, seorang wanita warga tempatan berusia 50-an diberkas Jabatan Imigresen Selangor kerana disyaki turut terbabit menjual bayi kepada pasangan terdesak mendapatkan anak.

Difahamkan, dengan deposit hanya RM500, wanita terbabit menawarkan bayi masih dalam kandungan untuk tempahan dan harga setiap bayi akan dijual antara RM3,000 hingga mencecah RM15,000 bergantung status pembeli.


Bagaimanapun, kegiatan wanita terbabit terbongkar apabila pegawai Jabatan Imigresen Selangor menyamar sebagai suami isteri bertemunya dengan alasan untuk membeli bayi selepas tidak mempunyai anak sejak tiga tahun berkahwin.


Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi berkata, pertemuan diatur dengan wanita terbabit di sebuah kedai minum di sekitar Selangor.


“Selepas bersetuju membayar RM500 sebagai deposit bayi ingin dibeli itu, wanita itu membawa kami ke sebuah rumah di tingkat satu berhampiran tempat kami berbincang.


“Di rumah itu wanita terbabit menunjukkan seorang wanita warga Indonesia berusia 35 tahun yang sarat mengandung dan dikatakan akan bersalin pada 11 Mei ini,”
katanya.


Menurutnya, wanita itu juga menyatakan pembeli bayi perlu membayar segala kos perubatan bersalin serta tambahan RM3,000 lagi jika bayi itu sudah diserahkan.


Katanya, selepas yakin perangkap mengena, sepasukan 10 pegawainya menyerbu rumah terbabit kira-kira jam 8 malam kelmarin.


Hasil pemeriksaan anggota penguat kuasa menemui pasport Indonesia tamat tempoh, sijil pernikahan palsu dan surat berkaitan pembekalan pembantu rumah.

“Kita turut menahan wanita itu dan anak perempuannya, seorang wanita lain yang sarat mengandung berusia 30-an, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun serta seorang lelaki berusia 20-an iaitu tuan rumah terbabit.


“Petang ini (semalam), kita mendapat perintah tahanan reman daripada Majistret Mahkamah Selayang, Muhammad Najib Ismail kepada semua yang ditahan itu bagi menjalankan siasatan lanjut,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jualbayidalamperut/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...