Tuesday, May 4, 2010

Rawat lutut pecah


KHAIRUL FAIZI (kiri) mengendalikan kamera yang dimasukkan ke dalam lutut Mazlina melalui satu insisi kecil di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur pada Mac lalu. - Gambar ihsan www.footandankleproblems.blogspot.com


TAEKWONDO merupakan sejenis sukan lasak yang boleh membawa risiko kecederaan di kaki dan seluruh anggota badan.

Sepanjang hampir lima tahun terlibat dalam sukan tersebut, tiada satu pun kecederaan serius pernah penulis alami.

Namun, siapa sangka hanya sekadar terjatuh ketika mahu membonceng motosikal, lutut penulis mengalami cedera teruk sehingga terpaksa dibedah.

Ceritanya bermula berikutan urat berwarna kehijau-hijauan mula timbul pada bahagian lutut pada malam 13 Mac lalu.

Kesakitan tersebut begitu menggusarkan sehingga mendesak penulis berkejar ke Hospital Pantai Medical Cheras.

Tulang rawan lutut awak sudah pecah, saya akan rujuk (kes) awak kepada doktor pakar ortopedik,” kata seorang doktor klinik pesakit luar.

Namun, ia sedikit pun tidak menimbulkan kebimbangan kerana penulis menganggap kecederaan itu tidaklah seteruk mana.


LATIHAN fisioterapi penting untuk mengelak masalah lutut bertambah kronik terutama terhadap ahli sukan profesional.


Koyak

Bagaimanapun, segala-galanya berubah tatkala Perunding Pakar Bedah Ortopedik, Kaki dan Pergelangan Kaki hospital berkenaan, Dr. Khairul Faizi Mohammad menghuraikan maklumat terperinci mengenai punca kesakitan penulis.

Menurut Khairul Faizi, lutut penulis bengkak akibat pendarahan sekali gus menerangkan fenomena urat hijau yang tiba-tiba timbul pada 13 Mac lalu.

“Ini dibuktikan apabila darah sebanyak 100 mililiter (ml) disuntik dan dikeluarkan daripada lututnya (Mazlina).

“Justeru, untuk merawat kesakitan ini, saya mengesyorkan pesakit menjalani pembedahan yang dipanggil sebagai artroskopi,” kata Khairul Faizi kepada Jurnal baru-baru ini.

Pembedahan tersebut menggunakan kaedah memasukkan satu unit kamera khas pada bahagian lutut pesakit untuk meneliti tahap kecederaan serta luka di bahagian sendi lutut, jelas beliau.

Kaedah itu juga membenarkan doktor mengesan dan melakukan rawatan terhadap bahagian-bahagian yang cedera.

Hasil pembedahan peringkat awal mendapati tiga kecederaan yang dialami penulis. Pertama, meniskus (pelapik sendi lutut) pada lutut terkoyak dan kedua, rawan pada permukaan tulang paha penulis cedera.

Potong

Pada masa sama, bahagian ligamen krusiata anterior yang menyambungkan lutut dan paha turut terkoyak.

Kecederaan pada bahagian ligamen krusiata anterior jarang berlaku terhadap pesakit biasa tetapi ia sering dialami pemain bola sepak, ragbi dan American Football.

“Dalam kes Mazlina, saya beranggapan mungkin beliau jatuh dengan hentakan yang kuat.

“Jika ia lebih kuat, bahagian utama pada lutut iaitu ligamen krusiat posterior (ligamen belakang lutut), kepala lutut dan ligamen kolateral turut berpotensi untuk cedera,” kata Khairul Faizi.

Susulan pemeriksaan itu, satu prosedur pembedahan diatur dan ia berlangsung selama tiga jam pada 16 Mac lalu.

Jelas Khairul Faizi, pasukan perubatan memotong bahagian meniskus yang koyak dan merapikan bahagian koyak sehingga menjadi rata.

Kecederaan rawan yang dialami penulis dirawat melalui teknik microfracture iaitu satu insisi lubang kecil pada tulang dan rawan.


Pakar kemudian menyuntik ubat ke dalam lutut pesakit sebanyak tiga kali berturut-turut.


KERETAKAN pada bahagian rawan ditunjukkan oleh anak panah.


Impak

Walaupun kini sudah beransur sembuh, Khairul Faizi menyatakan penulis dan pesakit-pesakit lain akan merasai kesan jangka panjang rentetan kecederaan itu masih ada.

Meniskus dan rawan yang cedera pada kebiasaannya tidak akan sembuh seperti asal sekali gus menyebabkan golongan tersebut berpotensi mengalami radang sendi atau artritis dengan lebih cepat.

Radang sendi biasanya melibatkan pelbagai aspek penyakit sendi yang menyebabkan rasa sakit, hilang pergerakan dan pembengkakan pada sendi tubuh.

Secara saintifiknya, meniskus berfungsi sebagai kusyen lutut sementara rawan berfungsi sebagai permukaan licin di permukaan sendi untuk membenarkan sendi bergerak dengan lancar.

Pergerakan sendi lutut perlu dilakukan sejurus selepas pembedahan demi menjamin kesejahteraan permukaan rawan, jelas Khairul Faizi.

Pada masa yang sama, pesakit dilarang sama sekali bersukan dan terbabit dalam acara lasak untuk tempoh sehingga empat bulan.

Peringatan itu sangat penting bagi membolehkan rawan kembali pulih dengan kaedah rawan berserat.

Kelazimannya pada peringkat awal, latihan fisioterapi digalakkan dengan tujuan untuk mengembalikan kekuatan otot-otot sendi.

Sekiranya ia tidak dilakukan, pesakit dikhuatiri sukar bergerak dan kadangkala berlaku simptom sakit pada lutut atau sendi.


PEMAIN bola sepak, Cristiano Ronaldo pernah mengalami masalah kecederaan lutut.


Bahaya urut

Khairul Faizi tidak meggalakkan urutan tradisional pada bahagian itu kerana ia akan menyebabkan kecederaan bertambah parah.

Pesakit juga diberikan makanan tambahan seperti glucosamine atau dengan kaedah suntikan terus ke dalam sendi lutut, katanya.

Bagaimanapun kecederaan yang dialami penulis jarang berlaku terhadap kanak-kanak kerana bahagian seperti meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior jarang menimpa golongan itu.

Jelas Khairul Faizi, kanak-kanak mempunyai bahagian meniskus, rawan dan ligamen krusiat posterior yang lebih kuat berbanding individu dewasa.

Golongan itu lebih cenderung mengalami patah tulang berbanding cedera pada bahagian meniskus, jelas beliau.

Seperti kebanyakan pesakit berkaitan tulang yang lain, penulis turut diingatkan supaya memastikan berat badan berada pada tahap ideal.

Jelas Khairul Faizi, semakin tinggi indeks jisim badan (BMI) seseorang, semakin teruk kecederaan yang akan mereka dialami manakala jisim ideal adalah antara 20 hingga 25.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...