Tuesday, May 4, 2010

'Konsert tarik nyawa'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/04

KUALA LUMPUR: Kerja gila dan tidak ubah seperti ‘konsert tarik nyawa’ apabila dua kumpulan Mat Rock warga Indonesia menjadikan temasya terbabit sebagai gelanggang pergaduhan sehingga menyebabkan puluhan cedera, manakala seorang mati akibat ditetak hampir putus leher.

Lebih mengerikan apabila pergaduhan berkenaan yang berlaku di khalayak ramai seolah-olah diatur lebih awal apabila kebanyakan pendatang terbabit datang berhibur sambil membawa pisau, kapak, kerambit dan parang sebagai persediaan untuk `berperang’.


Difahamkan, lebih 100 warga Indonesia yang bertempur membawa hampir dua guni senjata tajam yang dijadikan bekalan untuk membunuh sesiapa sahaja yang diingini hanya kerana perselisihan faham kecil yang dipercayai ada kaitan dengan dendam lama dan perbezaan daerah.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 40-an, berkata pergaduhan itu tercetus kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, ketika ribuan warga asing, majoriti dari Indonesia menghadiri konsert kumpulan rock dan pop dari negara itu anjuran sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka tanah air Menurutnya, keadaan mula tidak terkawal sejak awal konsert apabila beberapa penonton gagal mengawal diri sebelum mencetuskan rusuhan.


“Mereka memecahkan pagar yang memisahkan penonton dengan pentas sebelum ada yang membalingkan pagar terbabit ke arah orang ramai.


“Berikutan itu, beberapa penonton tercedera hingga mencetuskan pergaduhan dalam stadium. Keadaan menjadi tidak terkawal walaupun pihak polis dipanggil untuk mengawal kawasan konsert berkenaan,”
katanya.


Katanya, keadaan menjadi tidak terkawal apabila rata-rata pengunjung konsert terbabit mula bergaduh berhampiran tempat meletak kereta A berhampiran Stadium Nasional Bukit Jalil, berkenaan.


“Saya tak pasti apa sebenarnya berlaku, namun daripada maklumat yang saya dengar, dua kumpulan warga Indonesia bertempur di kawasan meletak kereta itu dengan menggunakan pelbagai senjata tajam.


“Pada awalnya mereka dikatakan cabar-mencabar antara satu sama lain sebelum ‘perang mulut’ itu berlarutan hingga kepada pergaduhan beramai-ramai,’
katanya.


Menurutnya, kebanyakan lelaki warga asing terbabit seolah-olah ‘hilang akal’ apabila menyerang membabi-buta dengan bersenjatakan pisau dan senjata tajam lain.

“Keadaan menjadi cemas apabila beberapa lelaki warga Indonesia bertempik sambil ada antaranya dilihat berlumuran darah akibat ditikam atau ditetak. Mereka seolah-olah dirasuk dan tidak teragak-agak mencedera atau membunuh sesiapa yang dianggap musuh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Konserttariknyawa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...