abwahab@hmetro.com.my
2010/05/25
SHAH ALAM: Seorang anak penoreh getah tidak menjadikan kemiskinan dalam hidupnya sebagai alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya dia menjadikan kekurangan itu sebagai pendorong untuk belajar bersungguh-sungguh sebelum dinobatkan antara pelajar terbaik, sekali gus menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kali ke-72 di Dewan Seri Budiman di sini, semalam.
Noor Suzilawati Nasrudin, 22, menjadikan ibunya, Fatimah Samad, 43, seorang ibu tunggal, sebagai idolanya untuk berusaha bersungguh-sungguh dan mengubah hidup keluarganya.
Pelajar Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Perindustrian), Kampus UiTM Merbuk, Kedah itu mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72 untuk melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor iaitu anugerah tertinggi yang diberikan UiTM kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran diambil.
Noor Suzilawati berkata, kepayahan ibunya bekerja membesarkannya dan lima beradik lain menyebabkan dia ingin membalas jasa dan pengorbanan ibunya.
“Dulu sebelum bekerja sebagai penoreh getah, ibu bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerambit (SMK), Kuala Lipis, Pahang.
“Kebiasaannya selepas tamat kerja sebagai tukang sapu, ibu akan bekerja di kantin pula manakala malam kerja dobi asrama. “Perkara ini dilakukan ibu tiap-taip hari iaitu bermula jam 7.30 pagi sehingga jam 1 pagi,” katanya.
Menurutnya, pengorbanan ibunya itu menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh dan selepas diterima masuk ke UiTM dia tidak lagi menoleh ke belakang dan berusaha siang dan malam dengan mentelaah buku pelajaran.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kasihanlihatibu/Article
No comments:
Post a Comment