Tuesday, May 25, 2010

Mercu tanda 'hotel' pengemis


GOLONGAN pengemis dan penagih dadah menjadikan pekarangan bangunan Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur sebagai tempat tidur mereka.


KUALA LUMPUR - Siang hari Kompleks Dayabumi di sini memang sesak dengan orang ramai yang sibuk dengan pelbagai urusan namun menjelang malam kawasan itu 'ditawan' oleh orang gelandangan.

Bagai merempat di bumi sendiri, rata-rata mereka yang terdiri daripada golongan pengemis dan penagih dadah menjadikan bangunan yang menjadi antara mercu tanda terawal di ibu kota itu bagai 'istana beradu' mereka.

Tinjauan Kosmo! di kawasan tersebut selepas menerima maklumat daripada pembaca mendapati fenomena itu telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini ekoran tiada kawalan daripada pihak berkuasa.

Malah, pengemis dan penagih dadah dilihat bebas keluar masuk untuk tidur atau melepak di kawasan tersebut sejak pukul 9 malam dan mereka hilang menjelang pukul 7 pagi keesokannya.

Selain pengemis dan penagih yang melepaskan gian, ia juga menjadi lubuk kepada sekumpulan mak nyah dan pondan 'mencari makan'.

Tinjauan yang bermula pukul 12 tengah malam semalam mendapati terdapat tidak kurang 15 orang yang tidak diketahui asal usul mereka sudah membuat 'tempahan' untuk bermalam di kawasan itu.

Mereka yang kebanyakannya sehelai sepinggang dilihat selesa berbaring dengan hanya beralaskan surat khabar tanpa berselimut dan ada yang sudah lena dibuai mimpi tanpa menyedari kehadiran wartawan dan jurugambar yang membuat tinjauan.

Kebanyakan daripada pengemis setinggan itu berasal daripada pelbagai latar belakang dan ada juga yang terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai waris selain terlibat dengan masalah penagihan dadah.

Salah seorang pengawal keselamatan yang hanya mahu di kenali sebagai Pak Ya berkata, pihaknya sudah tidak larat untuk menghalang penagih dadah serta pengemis tidur di kawasan itu kerana setiap kali dihalau pasti mereka akan bertandang kembali.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...