PENULIS pernah berkecimpung dan merasai bagaimanakah dunia sebenar perniagaan dan satu pelajaran yang penulis perolehi daripada pengalaman tersebut ialah tidak ada jalan pintas untuk menjadi kaya sepertimana juga tidak ada jalan pintas untuk menjadi pandai dan matang.
Semuanya perlu melalui proses trial and error. Harus menempuhi pahit maung dan sepak terajang dunia yang kita ceburi itu. Mana ada dalam dunia ini duit datang bergolek selonggok dalam tempoh 30 hari. Dan mana ada orang menjadi kaya secara ekspres melainkan kena loteri sahaja.
Malangnya masyarakat kita walaupun berulang kali membaca, melihat, menyaksikan sendiri malah merasai kesakitan dan kesengsaraan orang yang ditipu dan diperdayakan oleh godaan dan juga tamak haloba untuk menjadi kaya secara ekspres terus menerus diperdaya dan ditipu kerana tidak serik-serik dan tidak mahu mengambil iktibar oleh nasib malang yang menimpa orang lain.
Dan nampaknya masih ramai yang secara mudah diperdaya oleh skim pelaburan haram yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh 30 hingga 60 hari hingga mendorong seorang pelabur membuat pelaburan sehingga RM1 juta sebagaimana disiarkan dalam akhbar baru-baru ini.
Yang paling menghairankan ialah bagaimana seorang manusia yang mempunyai wang sebanyak itu dengan begitu mudah sekali diperdayakan untuk menyerah wang berkenaan kepada seorang manusia lain tanpa jaminan melainkan kerana inginkan pulangan segera yang kononnya lumayan.
Sudah pastinya pula, bagi seorang yang berjaya dan mampu mengumpul RM1 juta dalam hidupnya tidak memperolehi wang tersebut dalam satu malam. Sama ada dia bekerja keras siang dan malam untuk membuat duit sebanyak itu melalui perniagaan yang dia ceburi atau dia memperolehinya melalui warisan daripada ibu-bapa yang kaya raya dan memiliki harta yang banyak.
Bagaimanakah pula dia tergamak menyerahkan wang sebanyak itu dalam sekelip mata ke tangan seseorang tanpa berfikir panjang? Ternyata sekali, jika tidak kerana tamak haloba apakah alasan paling logik untuk berbuat demikian. Bukannya kerana bijak melabur atau bijak berniaga.
Namun begitu, paling menarik perhatian berhubung isu ini ialah betapa ramainya artis terkemuka tanah air seperti Amy Search misalnya turut terpedaya dan menjadi mangsa skim pelaburan haram ini. Berdasarkan kenyataan Amy, dia bukanlah penganjur skim berkenaan tetapi seperti mana yang lain juga adalah mangsa penipuan.
Amy berkata, dia sendiri kehilangan wang sebanyak RM450,000 dan lebih malang lagi ialah ada seorang peserta skim ini mahu menyaman Amy kerana menerusi penyanyi itu dia turut melabur sebanyak RM1 juta dan khabarnya sejumlah RM10 juta milik pelabur lain turut lesap.
Mereka pada mulanya menyangka Amy adalah pengasas skim berkenaan tetapi sebenarnya sepertimana juga mereka, Amy sebenarnya adalah sebahagian daripada pelabur bukannya pengusaha skim tersebut.
Kini pengusaha skim berkenaan menghilangkan diri bersama-sama wang tunai yang cukup lumayan itu dan jika dibuat congak secara bodoh pun, penipu ini boleh hidup senang lenang tujuh keturunan di negara orang hasil daripada titik peluh keringat orang lain.
Yang terpaksa mengadap mangsa penipuan ini di sini ialah selebriti seperti Amy yang tidak dapat lari ke mana-mana kerana status ikon yang dia pikul.
Adalah sangat menyedihkan apabila kita membaca kenyataan Amy yang mengatakan wang yang dia laburkan itu dia simpan untuk membina sebuah sekolah agama di tempat kelahirannya di Johor.
Apa yang nyata ialah pengusaha skim penipuan ini cukup pandai dengan terlebih dahulu mengrekrut seniman dan ikon terkenal seperti Amy sebagai umpan untuk menebar jala atau pukat bagi menangkap habuan yang lebih besar.
Sudah sifat manusia cenderung untuk mempercayai orang yang mereka puja dan idolakan. Dengan adanya Amy sebagai ‘duta’ atau ‘muka depan’ kepada skim pelaburan yang kelihatan sangat menarik, gah dan lumayan ini, lebih mudahlah orang yang berada tampil ke hadapan turut melabur apatah lagi jika ini membuka peluang berdampingan dan bersua muka dengan selebriti sepopular Amy.
Dan bagi menarik kepercayaan awal orang-ramai terhadap kemampuan dan kredibiliti skim pelaburan cepat kaya ini, pengusahanya bersedia menahan diri daripada menyapu bersih hasil kutipannya dengan berkorban membayar hasil pelaburan peringkat pertama, kedua dan ketiga terlebih dahulu.
Kini Amy bukan sahaja terpaksa berhempas pulas mengadakan konsert dan kembali ke pentas untuk membuat duit bagi mengumpul balik wang demi menebus kembali maruahnya yang tercalar dan membayar wang pelabur lain dibuat melaluinya, tetapi dia terpaksa mendapatkan pertolongan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membersihkan namanya dengan menjelaskan dia bukanlah pengusaha pelaburan tersebut tetapi sebenarnya salah seorang daripada mangsa skim berkenaan.
Dan menurut BNM lagi, untuk tahun ini sahaja, mereka menerima lebih 10 aduan berkaitan skim pelaburan membabitkan pengambilan deposit tanpa lesen dan empat daripadanya sudahpun dihadapkan ke mahkamah dan menunggu masa untuk dibicarakan.
Akhirnya setelah diri sendiri menjadi mangsa, Amy menasihati orang-ramai supaya jangan sama sekali terpedaya dengan skim cepat kaya seperti ini.
Seperti mana Amy, penulis juga ingin memberi nasihat yang sama...
Lagi tentang mudah diperdayakan...
Dan bercakap tentang bagaimana mudahnya anggota dalam masyarakat kita diperdayakan dengan perkara-perkara yang seperti ini, maka penulis ingin mengimbau kembali memori para pembaca mengenai satu insiden yang melibatkan seorang lelaki yang mengaku dirinya jeneral satu pasukan berseragam yang berfungsi menjaga keselamatan negara dan mula membuat pengambilan anggota-anggota baru dengan mengenakan kadar yuran tertentu.
Malah mereka turut ‘menjual’ pangkat dari leftenan, kapten, mejar, leftenan kolonel, kolonel, brigedier jeneral, mejar jeneral, leftenan jeneral pada harga tertentu.
Yang pelik dan ajaibnya, jenis penipuan macam ini pun yang secara terang-terangan merupakan satu organisasi syok sendiri, masih ada yang terpedaya dan sanggup mengeluarkan wang asalkan dapat gelaran dan pangkat tersebut.
Penulis tidak faham apakah yang dikejar oleh orang kita dalam hidup mereka sehinggakan perkara seperti ini pun mereka sanggup bayar. Dan inilah masalahnya, apabila ada permintaan maka adalah penawaran.
Maka atas sebab itulah orang seperti mana lelaki yang menganjurkan penipuan seperti ini boleh hidup di tengah-tengah masyarakat kita.
Kerana apa? Kerana kita sendiri membenarkan orang seperti ini terus hidup dan berleluasa di sekeliling kita kerana kita sendiri dahagakan pengiktirafan, gelaran dan pangkat sehinggakan kalau tak dapat daripada yang bertauliah, dapat daripada sang penipu seperti ini pun jadilah.
Dan paling menakjubkan ialah kesanggupan kita membenarkan diri diperdayakan oleh orang seperti ini. Ia hanya memerlukan seorang ‘gila’ dengan sedikit kepandaian menipu, memutar belit dan pengaruh yang meyakinkan bagi mencari keuntungan daripada ketamakan dan haloba manusia.
Dan sang penipu ini sedar dan tahu selagi wujudnya manusia selagi itulah wujudnya ketamakan dan haloba dan selagi itulah dia boleh terus hidup di muka bumi ini dengan hasil penipuannya itu kerana manusia ini membenarkan diri mereka ditipu dan diperdaya kerana inginkan kesenangan dan pengiktirafan dengan jalan mudah dan jalan pintas.
No comments:
Post a Comment