am@hmetro.com.my
2010/05/26
KUALA TERENGGANU: Dia dikenali penduduk kampung sebagai seorang yang warak apabila menjadikan masjid dan surau sebagai rumah kedua kerana kerap mengunjungi rumah Allah itu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.
Namun, segala perilaku itu hanya topeng semata-mata apabila lelaki terbabit berkelakuan tidak ubah seperti binatang selepas menjadikan anak gadisnya berusia 15 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu gilanya.
Perbuatannya terbongkar, menyebabkan bapa berusia lingkungan 50-an itu hidup sebagai pelarian sejak diburu polis, selain anaknya sendiri kerana tidak menyangka perbuatan biadab lelaki berkenaan yang selama ini dianggap benteng keluarga.
Difahamkan, perbuatan haruan makan anak lelaki terbabit dipercayai dilakukannya sejak beberapa tahun lalu memeranjatkan penduduk kampung apabila gadis yang lumpuh dan bisu sejak lahir itu didakwa mengandung.
Lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk itu setiap kali sebelum memandikan mangsa di bilik air rumahnya.
Bagaimanapun, penderitaan gadis malang sepanjang menjadi ‘hidangan’ bapa sendiri terbongkar selepas doktor mengesahkan dia mengandung ketika mendapatkan rawatan kerana demam panas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal bulan ini.
Menurut sumber, perbuatan terkutuk lelaki itu yang bekerja sebagai buruh binaan menimbulkan kemarahan anak lelakinya kerana tidak menyangka bapa diharapkan menjaga keselamatan bertindak sebagai gunting dalam lipatan apabila tergamak ‘meratah’ daging anak sendiri.
Sumber berkata, kerana terlalu marah dengan perbuatan bapa terbabit, anak lelakinya yang juga bekas anggota tentera membaling pasu bunga ke arah bapa berkenaan ketika pasangan anak-beranak itu bergaduh dalam rumah.
Katanya, balingan pasu bunga itu mengenai bahagian belakang bapa terbabit menyebabkan lelaki terbabit yang bimbang dengan amukan anak lelakinya melarikan diri sebelum dia dipercayai bersembunyi di kampung berhampiran.
Sumber berkenaan berkata, ibu mangsa berusia lingkungan 40-an yang dimaklumkan mengenai keadaan anaknya enggan membuat laporan polis dengan alasan mahu menjaga nama baik suami dan ahli keluarganya, namun atas desakan anak lelakinya, dia nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.
Difahamkan, doktor yang membuat pemeriksaan lanjut mengesyaki remaja terbabit mengandung di luar rahim dan bercadang melakukan pembedahan. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhaimi Omar berkata, hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa tidak mengandung.
“Mangsa menerima bantuan bulanan kategori orang kurang upaya (OKU) dirawat di HSNZ dan kami cuba mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan mangsa diletakkan di bawah penjagaan JKM di Pusat Taman Sinar Harapan di Bukit Besar, di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Katanya, polis memburu bapa mangsa yang menghilangkan diri selepas berlaku pergaduhan antara dia dan ahli keluarganya di kediamannya, kelmarin.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ratahtubuhanaklumpuh/Article
No comments:
Post a Comment