am@hmetro.com.my
2010/05/26
KUALA TERENGGANU: Akibat kemaruk cinta warga asing, seorang isteri bukan saja sanggup menduakan suaminya, malah turut merampas perniagaan yang dibina bersama selama 11 tahun selepas kemungkarannya terbongkar.
Lebih memilukan, si suami yang setia kini bukan saja hidup merempat kerana dibuang isteri, malah terpaksa berkongsi kesedihan itu bersama enam anaknya.
Suami itu yang hanya mahu dikenali sebagai Che Wan, 45, dari Kampung Ladang di sini, mendedahkan kisahnya selepas tidak tahan dengan penderitaan dilaluinya. Katanya, kerana terlalu sayangkan isteri yang dikahwini sejak 27 tahun lalu, dia menuruti semua permintaan, termasuk menamakannya sebagai pemilik harta merangkumi semua aset perniagaan bernilai lebih RM250,000.
Namun, selepas kecurangan itu terbongkar, isterinya bukan saja biadab memaki-hamunnya, malah memperkecilkan kehebatannya di ranjang dan membandingkannya dengan warga asing yang menjadi buah hatinya.
Katanya, dia terkilan warga asing itu yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan syarikatnya mengkhianati kepercayaannya.
“Kepercayaan terhadap isteri yang sebelum ini berjanji sehidup semati, diragut selepas dia yang kini berusia 40 tahun bermain kayu tiga.
“Hati mana tidak remuk melihat isteri bermesra dengan lelaki lain, tambahan pula warga asing. Patutlah setiap kali saya keluar daerah menguruskan perniagaan, rakan mengadu isteri sering bermesra dengan lelaki itu.
“Pada mulanya saya tak percaya dan memarahi mereka kerana memfitnah isteri, tapi alangkah terkejut apabila saya sendiri terserempak mereka bermesra,” katanya.
Katanya, sebelum kecurangan itu disaksikan sendiri, isterinya sering menolak permintaannya untuk mengadakan hubungan kelamin. “Setiap kali saya meminta, dia mengelak. Malah, isteri mula berdandan dan mencantikkan diri dengan berkunjung ke pusat kecantikan.
“Sebagai ayah kepada enam anak berusia antara 12 hingga 27 tahun, saya bersabar tetapi selepas melihat banyak perubahan, saya mengesyaki sesuatu,” katanya.
Selepas mengintip, dia mendapati isterinya menyewa rumah bersama lelaki itu. Bagaimanapun ketika dia dan rakan memasang perangkap, pasangan itu berjaya lari melalui pintu belakang.
“Selepas kecurangannya terbongkar, isteri keluar dan tidak pulang. Malah, dia menurut semua kehendak teman lelakinya termasuk bercuti ke luar negara seperti suami isteri sah,” katanya sedih.
Berikutan semua hartanya atas nama isteri, Che Wan kini bukan saja dipecat daripada semua jawatan dalam perniagaannya, malah isterinya bercadang menjual rumah didiami tanpa mempedulikan nasib anak mereka.
“Kini saya tinggal sehelai sepinggang, mahu atau tidak terpaksa mengadu nasib kepada saudara dan sahabat untuk membantu menyediakan keperluan persekolahan anak,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamiterbuang/Article
No comments:
Post a Comment