Wednesday, May 26, 2010

Tiga polis peras ugut RM10,000

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/26

GOMBAK: Undang-undang tidak mengenal sesiapa apabila tiga anggota polis dicekup selepas dikesan cuba memeras ugut seorang pemilik rumah urut dengan meminta bayaran RM10,000.

Dalam kejadian terbaru itu, ketiga-tiga anggota polis terbabit dikesan menyamar pegawai polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman untuk meminta mangsa membayar wang suapan sekiranya tidak mahu diambil tindakan.


Sumber polis berkata, suspek pergi ke sebuah premis menawarkan urutan tradisional di Batu Caves, Selayang di sini.


Menurutnya, suspek yang memperkenalkan diri anggota polis dari D7 Bukit Aman berpura-pura melakukan pemeriksaan lesen terhadap pekerja di pusat urutan terbabit.


“Difahamkan, suspek mendakwa pekerja rumah urut terbabit melakukan pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat permit bekerja di negara ini. Difahamkan, anggota polis terbabit mendakwa gadis warga asing yang bekerja di premis terbabit melakukan kesalahan serius dan boleh ditahan.


“Suspek meminta penyelia rumah urut terbabit yang berusia 39 tahun menghubungi majikannya bagi menyelesaikan masalah berkenaan. Difahamkan anggota polis terbabit menawarkan pelepasan sekiranya pemilik rumah urut terbabit sanggup membayar RM10,000 kepada mereka,”
katanya.


Menurutnya, pemilik rumah urut terbabit bagaimanapun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terhadap tindakan tiga suspek terbabit yang meminta wang suapan.


“Susulan itu, sepasukan anggota polis dari IPD Gombak pergi ke rumah urut terbabit tidak lama kemudian sebelum memberkas semua suspek kira-kira jam 5.30 petang hari sama.


“Difahamkan ketiga-tiga mereka ditahan ketika menunggu majikan rumah urut terbabit datang membawa wang berkenaan,”
katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek diberkas sebelum dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut. Suspek kini direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dilakukan.


“Polis kini menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan atas jenayah pemerasan. Siasatan awal mendapati suspek anggota polis dari IPD Cheras selain anggota polis sukarelawan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TigapolisperasugutRM10_000/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...