Friday, June 11, 2010

'Ampun saya mak, abah'

Oleh Nazarali Saeril

2010/06/11

JOHOR BAHRU: “Kami bukan setakat bermalam beralas tuala dan beg sekolah malah berpindah dari satu rumah tinggal ke rumah tinggal lain serta terpaksa menjual dua telefon bimbit dengan harga RM40 semata-mata mahu mengisi perut.

“Menitis air mata saya tatkala menyuap makanan kerana sebak teringatkan ayah, ibu serta keluarga. Begitu besar pengorbanan mereka membesarkan saya dan kini saya menghampakan mereka. Ampunkan saya mak dan abah,” kata Siti Nurzieha Nuri, 17, di sini, semalam.

Selain itu, teman lelaki diharap dapat membantu juga sebagai pelindung turut sama ‘kenduri’ makanan dibeli Siti Nurzieha kerana dia juga tidak berduit, malah mencadangkan mereka bermalam di rumah tinggal.


Mengimbau kenangan pahit sembilan hari melarikan diri dari kediaman keluarga, Siti Nurzieha mengatakan semuanya bermula apabila dia dan rakannya, Rozana Ahmad Salleh bercadang untuk ponteng sekolah.

“Tidak lama selepas sampai ke sekolah, kami mengambil keputusan untuk ponteng dan bertemu dengan teman lelaki saya yang sedia menunggu.


“Kami hanya membawa sehelai baju gantian kerana tidak terfikir langsung untuk lari dari rumah sebaliknya hanya mahu ponteng. Saya gembira dapat bertemu teman lelaki, tetapi kegembiraan itu tidak lama selepas menyedari abah mengetahui saya ponteng sekolah,”
katanya.


Bimbang dimarahi, pelajar tingkatan empat itu mengambil jalan mudah iaitu bermalam bersama Rozana di kediaman keluarga remaja lelaki terbabit. Mereka kemudian beredar dari sana keesokan harinya.


Selepas itu, bermulalah episod hidup bagaikan pelarian bagi dirinya. Mereka hanya merayau dan kerana tidak tahu mana hendak dituju, teman lelaki Siti Nurzieha mencadangkan mereka mencari rumah tinggal untuk bermalam.


“Kami mendapat lokasi dianggap sesuai iaitu rumah tinggal sekitar Masai. Selama beberapa malam kami di sana, tetapi terpaksa keluar selepas ‘diperhatikan’ penduduk tempatan.


“Selepas itu kami berpindah pula ‘ke istana’ baru di Taman Cendana, Pasir Gudang. Bagaimanapun, di sana, kami dihalau keluar penduduk yang berang. Ketika itu baru saya sedar betapa sukarnya hidup umpama pelarian,”
katanya sebak.


Sepanjang berada di kedua-dua tempat itu, Siti Nurzieha mengatakan mereka menjadikan nasi lemak sebagai ‘santapan’ mewah dan akhirnya, kerana sudah putus sumber kewangan, dia serta Rozana terpaksa menjual telefon bimbit masing-masing untuk membeli makanan.


Di rumah tinggal itu juga, Siti Nurzieha mengatakan ada berbual dengan teman lelaki yang turut memintanya kembali ke rumah kerana kehidupan umpama pelarian mereka cukup daif.


“Bagaimanapun, saya masih lagi bimbang dan kami terus ke sebuah pusat beli-belah di Masai kononnya untuk mencari kerja.

“Ketika kami berlegar-legar, tiba-tiba saya dipanggil abang sebelum abah menyusul tidak lama kemudian. Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa sebaknya perasaan saya. Saya bersyukur dikurniakan keluarga yang penuh dengan kasih sayang dan apa akan dilakukan kini ialah taat kepada mereka selain menyambung kembali pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Nuri Ngadirin memaklumkan menerima panggilan telefon daripada seorang pemanggil bertugas di pusat beli-belah itu yang terlihat kelibat anaknya serta Rozana di sana.


“Dia mengatakan wajah serta gambaran diri anak serta Rozana yang tersiar di Harian Metro menyerupai dua remaja perempuan dilihat berlegar-legar di sana,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ampunsayamak_abah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...