Friday, June 11, 2010

Anak buang bapa sendiri

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/06/11

KUALA LUMPUR: Tiada pilihan menyebabkan seorang pemilik kilang acuan plastik mengambil keputusan nekad tidak mahu mengaku bapa kandungnya sendiri selepas mengetahui bapanya berhutang dengan ceti haram atau along lebih RM1 juta.

Tindakan membuang bapa kandungnya sendiri itu diambil dengan rasa berat hati oleh lelaki berkenaan selepas tidak tahan diburu, selain dibelasah samseng along yang menuntutnya supaya menjelaskan semua hutang berkenaan.


Difahamkan, bapa mangsa sebelum ini gemar berhutang dengan along, selain menghabiskan wang syarikat untuk memenuhi hobinya bertaruh judi.


Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru petang kelmarin, mangsa berusia 31 tahun mendakwa didatangi dua lelaki dipercayai tali barut along ke kilangnya yang terletak di Taman Perindustrian Kinrara, Puchong. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dua lelaki terbabit memaksa mangsa membayar hutang bapanya berjumlah ratusan ribu ringgit yang dipinjam sejak beberapa tahun lalu.


“Difahamkan, bapa mangsa berusia 56 tahun meminjam daripada lebih 30 along sebelum menghilangkan diri sejurus gagal membayar semua hutang berkenaan.


“Mangsa yang enggan membayar hutang bapanya dipukul dan dibelasah samseng berkenaan. Dia dipaksa membayar sekurang-kurangnya RM8,800 dalam tempoh terdekat,”
katanya.


Mangsa turut tertekan apabila ada antara along terbabit turut mengugut meningkatkan kadar bunga sekali ganda sekiranya mangsa masih gagal menjelaskan hutang dalam tempoh ditetapkan.


Susulan kejadian ugutan dan kekerasan dilakukan samseng itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Puchong.


Difahamkan, bapa mangsa sebelum ini pernah menyalahgunakan pelbagai dokumen syarikat untuk dijadikan bahan cagaran membuat pinjaman daripada berpuluh along di sekitar Lembah Klang.


“Malah, bapa mangsa pernah menggelapkan kira-kira 100 keping cek syarikat kononnya membeli barang keperluan kilang, namun melarikan diri begitu sahaja. Cek terbabit dipercayai digunakannya untuk membayar hutang along secara ansuran.


“Lebih teruk apabila lelaki berkenaan mengarahkan along merampas kereta milik anaknya itu sekiranya dia gagal membayar hutang terbabit mengikut tempoh ditetapkan,”
katanya.

Malah, dalam kejadian berasingan kira-kira jam 3 petang 18 Mei lalu, mangsa yang berada di kilangnya mendakwa didatangi seorang samseng along yang mengugutnya supaya membayar hutang bapanya berjumlah ratusan ribu ringgit sekiranya tidak mahu semua mesin di kilangnya dirampas.


“Mangsa pernah membuat laporan polis berhubung kejadian ugutan itu kini semakin tertekan berikutan turut menanggung hutang dari pihak pembekal berjumlah ratusan ribu ringgit.


“Mangsa yang tertekan dengan ugutan terbabit sehingga kini gagal menjejaki bapanya yang menghilangkan diri menyebabkan dia diburu konco Along yang dipertanggungjawabkan bagi mengugut mangsa,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakbuangbapasendiri/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...