Friday, June 25, 2010

'Ibu, adik rindu abah...'

Oleh Ai’syah Sukaimi

2010/06/25

PUTRAJAYA: “Ibu, kenapa abah tak balik dari kerja lagi, adik rindu abah kerana abah selalu tidur dengan adik selepas abah balik kerja, mengapa abah lama tak balik, ibu?“ demikian rintihan, Nur Izz Dania Batrisyia Mohd Faiz, 4, merindui bapanya yang meninggalkan rumah di Salak Tinggi sejak hampir sebulan lalu.

Rintihan Nur Izz Dania yang sering jatuh sakit selepas kehilangan bapanya itu disuarakan ibunya, Nor Diana Ahmad Ghapur, 34, yang turut mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Izz Danial, 7, selain dirinya juga yang sedang mengandung lima bulan.


Nor Diana berkata, suaminya, Mohd Faiz Abdul Hamid, 35, yang juga pemandu seorang kenamaan meninggalkan rumah kira-kira jam 7 pagi pada 27 Mei lalu selepas memberitahu mahu melakukan kerja sampingan dengan menjadi pemandu limo.

“Saya tidak pasti sama ada dia berjaya melakukan kerja tambahan itu atau sebaliknya bagi memperoleh pendapatan tambahan untuk keluarga.


“Malah, sebelum kehilangan ini, suami juga memberitahu tidak mahu bertukar ke pejabat di Ipoh, Perak seperti yang diminta syarikat sebelum mengambil cuti,”
katanya ketika datang ke Pejabat Harian Metro, semalam.


Menurutnya, kali terakhir suami menghubunginya menggunakan telefon bimbitnya pada 29 Mei lalu dan memberitahu akan pulang pada 11 Jun, tetapi sehingga kini kelibatnya masih tidak kelihatan.

Nor Diana berkata, tidak ada sebarang perselisihan faham dengan suami seminggu sebelum kehilangan lelaki itu secara misteri.


Menurutnya, suaminya meninggalkan rumah sehelai sepinggang selain dua telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi sehingga menimbulkan rasa bimbang.


“Saya bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini selain dua anak yang sering bertanya ‘abah’ mereka yang sudah lama tidak pulang.

“Memang sebagai isteri, saya juga bimbang memandangkan tidak berlaku sebarang perselisihan faham sebelum itu,” katanya dalam nada sedih.


Menurutnya, apa yang dihadapi itu adalah pertama kali sepanjang lapan tahun mendirikan rumah tangga.


“Mengenangkan nasib anak-anak dan diri yang mengandung lima bulan, saya berharap suami dapat pulang ke pangkuan keluarga dan menyelesaikan sebarang perkara yang berbangkit,” katanya yang meminta orang ramai yang mengenali suami menghubunginya di talian 017-6653750.


Nor Diana berkata, dia sudah membuat laporan berkaitan kehilangan suaminya di Balai Polis Bandar Baru Salak pada 31 Mei lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibu_adikrinduabah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...