2010/06/25
PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan yang ‘diperkosa’ teman lelaki akhirnya melahirkan bayi luar nikah di hospital kerajaan di sini, sedangkan kekasihnya pula sudah melarikan diri ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dan enggan bertanggungjawab.
Bayi luar nikah itu dipercayai dilahirkan selepas hasil hubungan sulit antara remaja perempuan terbabit yang berusia 17 tahun dengan teman lelakinya dari sekolah yang sama.
Bagaimanapun, ibu mangsa yang kecewa dengan tindakan teman lelaki anaknya yang enggan bertanggungjawab itu mengambil tindakan membuat laporan polis.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, remaja itu melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Sungai Buloh, di sini, pada 2 Jun lalu.
“Hasil siasatan, remaja itu mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya tanpa sebarang paksaan, tetapi polis tetap mengklasifikasikan kes ini sebagai rogol kerana mangsa di bawah umur.
“Bagaimanapun, suspek belum ditahan kerana dipercayai berada di Australia untuk melanjutkan pelajarannya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, semalam.
Dalam kes berasingan, polis berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang aktif menyamun di beberapa kedai serbaneka di daerah ini.
“Kita (polis) berjaya menangkap 17 suspek yang ke semuanya lelaki dalam beberapa serbuan sejak 26 Mac sehingga Mei lalu,” katanya. Menurutnya, geng samun pertama tumpas sejurus ke semua 11 penjenayah itu yang berusia 15 hingga 25 tahun termasuk seorang pelajar berjaya diberkas.
“Hasil tangkapan itu, kita berjaya menyelesaikan 14 kes samun membabitkan kedai serbaneka yang dilaporkan berlaku di sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, dan ibu kota.
“Manakala, geng samun kedua dipercayai disertai tujuh lelaki berusia 19 hingga 25 tahun, tetapi hanya empat daripada mereka berjaya ditangkap,” katanya.
Difahamkan, kedua-dua kumpulan penjenayah terbabit menggunakan pisau dan topi keledar sebagai senjata, dan hanya mengambil wang tunai dan rokok semasa menjalankan kegiatan samun terbabit.
Menurutnya, semua suspek dikenakan perintah sekatan yang hanya dibenarkan berada di dalam daerah tertentu, manakala suspek yang berusia 15 tahun dikenakan sekatan dengan tidak dibenarkan keluar rumah selepas jam 7 malam.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TemanlelakilarikeAustralia/Article
No comments:
Post a Comment