Friday, June 25, 2010

Terima bil hantu

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/06/25

KUALA LUMPUR: Tidak pernah menggunakan talian telekomunikasi syarikat berkenaan tetapi perlu membayar bil RM266.55 adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk diterima sesiapa saja.

Itulah yang terpaksa dihadapi Chong Yew Chuan, 27, apabila menerima bil daripada sebuah syarikat telekomunikasi menyatakan dia perlu menjelaskan bil terbabit padahal dia langsung tidak pernah mendaftar talian berkenaan.


Chong seorang jurutera, mendakwa namanya dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab dan meminta syarikat telekomunikasi terbabit mengkaji semula kes itu bagi memastikan orang lain tidak menerima nasib sepertinya.


Chong ketika ditemui berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak mengenai kes itu pada 21 Jun lalu.


“Pada tarikh sama juga saya ke ibu pejabat syarikat telekomunikasi berkenaan di ibu kota dan terkejut apabila mendapati talian didaftarkan atas nama saya dan akaun terbabit masih aktif walaupun sudah tiga bulan tidak dibayar.


“Saya tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak menggunakan nama saya untuk tujuan itu mahupun mendapat apa-apa faedah dari transaksi dan semua itu adalah palsu.


“Ini sesuatu yang tidak masuk akal, untuk mendaftar talian tetap syaratnya hendaklah disertakan dengan kad pengenalan asal malah saya tidak pernah sesekali kehilangan kad pengenalan,” katanya.


Chong berkata, pendaftaran nombor terbabit dibuat di pejabat cawangan syarikat terbabit di Jalan Ampang.


“Saya pun tidak tahu bagaimana boleh jadi macam ini.


“Sepatutnya syarikat telekomunikasi lebih mementingkan keselamatan dalam mengendalikan pendaftaran pengguna.


Mereka tidak boleh dengan mudah menjalankan pendaftaran sedangkan mungkin ada pihak lain mengambil kesempatan menggunakan nama individu lain,”
katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Bahagian Wangsa Maju, Soo Jing Wey, berkata pihaknya akan menghantar surat kepada polis Kuala Lumpur dan syarikat telekomunikasi berkenaan bagi menyelesaikan masalah itu.


“Sepatutnya pihak syarikat telekomunikasi perlu berurusan dengan pembekal dan pengedar nombor terbabit sebelum membenarkan pendaftaran dibuat dan ini menimbulkan pertanyaan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku.


“Maklumat yang kami dapat daripada bil telefon yang diterima Chong, pendaftar nombor terbabit tidak membuat sebarang deposit tetapi dibenarkan oleh pihak syarikat telekomunikasi untuk membuat had panggilan sebanyak RM550.


“Kami akan mengkaji masalah ini dan akan cuba untuk menyelesaikannya secepat mungkin,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terimabilhantu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...