Friday, June 18, 2010

Isteri curang mati ditikam

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/06/18

KUALA LUMPUR: Perasaan cemburu mendorong seorang lelaki bertindak nekad membunuh isteri dan teman lelakinya dengan sebilah celoret selain mencederakan bapa saudaranya dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Batu 13, Jalan Ipoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, lelaki warga Indonesia terbabit yang berusia lewat 20-an dikatakan baru pulang bekerja hilang pertimbangan selepas melihat isterinya sedang bermadu asmara dengan teman lelakinya dalam rumah berkenaan.


Menurut sumber, suspek kemudian mencapai sebilah celoret sebelum menyerang isteri dan kekasihnya yang berusia awal 20-an.


“Wanita terbabit yang cuba mempertahankan kekasihnya itu menambahkan kemarahan suspek sebelum dia ditikam lebih tiga kali dan terjatuh di hadapan pintu rumah berkenaan manakala teman lelakinya yang gagal melarikan diri terpaksa bergelut dengan suspek namun rebah selepas turut ditikam berulang kali,” katanya.


Difahamkan, pergelutan antara suspek dan kekasih isterinya itu berlaku lebih 10 minit menyebabkan penghuni lain di rumah kongsi berkenaan terjaga daripada tidur.


Sumber berkata, seorang lagi mangsa yang juga bapa saudara suspek berusia awal 30-an dikatakan cuba menenangkan lelaki terbabit.


“Namun, tindakannya itu mengundang padah apabila dia turut diserang dan ditikam,” katanya.


Sumber berkata, penghuni rumah kongsi terbabit kemudian menghubungi polis.


Menyedari kehadiran polis, suspek melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.


Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, berkata wanita terbabit mati serta-merta di tempat kejadian.


“Seorang lagi mangsa yang dipercayai teman lelakinya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa masih kritikal dan sedang diberi rawatan rapi di hospital berkenaan.


“Siasatan awal, kedua-dua mangsa maut akibat ditikam pada bahagian dada, tangan, belakang dan perut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...