Friday, June 18, 2010

'Pak cik insaflah...'

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
2010/06/18

SEREMBAN: “Jika dilihat rekod lampau, pak cik mempunyai 25 kes jenayah dan sudah banyak kali keluar masuk penjara sejak 1969 lagi. Saya harap ini hukuman terakhir dan berharap pak cik insaf sepenuhnya,” kata Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Semalam, seorang lelaki warga emas dikenali sebagai Pak Din dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini terhadap tuduhan pilihan iaitu memiliki dadah di sekitar Kuala Pilah, tahun lalu. Mengikut pertuduhan, Idris Mahat, 61, didakwa memiliki dadah seberat 16.92 gram iaitu campuran 15.31 gram heroin dan 1.61 gram monoactylmorphines di kawasan tempat letak kereta Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, kira-kira jam 10.45 pagi, 3 Oktober 2009.


Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh, seorang peniaga pakaian, ditahan ketika berdiri di tepi sebuah Proton Wira di kawasan tempat letak kereta sebelum cuba melarikan diri.


Bagaimanapun, tertuduh diberkas dan pemeriksaan lanjut dalam kereta berkenaan menemui satu beg hitam berisi 120 peket kecil bahan kekuningan disyaki dadah yang dibalut dalam 12 bungkusan akhbar.


Tertuduh yang berbaju-T putih dan berseluar hitam dilihat tenang ketika pertuduhan dibacakan sebelum mengaku bersalah.


Menurut Ahmad Nasfy, mahkamah mendapati warga emas itu dikategorikan sebagai ‘habitual offender’ atau tidak boleh meninggalkan kerja yang menyalahi undang-undang.


“Jika selalu keluar masuk penjara, bagaimana mahu menyara keluarga? Saya minta pak cik sedar atas apa yang sudah dilakukan selama ini dan melupakan aktiviti jenayah.


“Pak cik perlu bersyukur kerana pihak pendakwaan memberikan tuduhan pilihan dan turut tidak dikenakan sebatan kerana usia sudah melebihi 50 tahun,”
katanya.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili Jamal Abas.


Jamal sebelum itu meminta anak guamnya dikenakan hukuman paling ringan kerana selain berusia, juga menghidap sakit jantung dan mempunyai tanggungan.

Difahamkan, Idris yang mempunyai seorang isteri, empat anak dan 12 cucu itu memiliki 25 rekod jenayah lampau, kebanyakannya membabitkan kes curi, pecah rumah, dadah serta memiliki pistol dan peluru.


Lebih mengejutkan apabila tertuduh juga pernah melarikan diri dari penjara di Tanah Merah, Kelantan pada 1982.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pakcikinsaflah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...