am@hmetro.com.my
2010/06/12
MASJID TANAH: “Jangan cari aku, biarkan aku hidup sendiri. Mulai sekarang aku tak nak menyusahkan emak lagi,” itulah sebahagian luahan seorang remaja perempuan dalam sekeping nota sebelum meninggalkan rumahnya di Kampung Permatang Darat, dekat sini, sejak seminggu lalu.
Remaja itu, Nur Izatul Amirah Yohanis, 16, yang menuntut di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, dipercayai menghilangkan diri kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu ketika ibunya, Zainap Mohd Yusup, 44, sedang tidur.
Anak sulung daripada dua beradik itu juga kerap ponteng sekolah akibat pengaruh rakan sebaya, malah sanggup menipu ibunya semata-mata ingin memenuhi kehendak teman lelaki berasal dari Sabah yang baru dikenali menerusi sebuah laman sembang sosial.
Menceritakan semula kejadian itu, Zainap yang juga seorang ibu tunggal, berkata dia hanya menyedari anaknya hilang kira-kira jam 5 pagi apabila terjaga daripada tidur.
Menurutnya, dia cuba mencari Nur Izatul di biliknya, namun terkejut apabila dia tiada di tempatnya dan sebahagian pakaian turut dibawa bersama.
“Saya tersentak selepas memeriksa almari pakaian apabila terjumpa sekeping nota yang diletakkan di atas almari solek meminta jangan mencarinya lagi kerana mahu hidup bebas di luar serta berdikari mencari duit untuk membeli keperluan sendiri tanpa menyusahkan orang lain.
“Pada malam Nur Izatul hilang, jiran sebelah rumah ada beritahu melihat sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih berlegar-legar di hadapan rumah lebih 10 kali seperti menunggu seseorang.
“Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya berkali-kali dan dapat bercakap dengannya walaupun untuk seketika. Dia memberitahu akan pulang ke rumah tidak lama lagi sebelum memutuskan talian tanpa memberitahu di mana dia berada,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Zainap berkata, anak sulungnya itu agak keras kepala kerana dia mahu mendapatkan segalanya sama seperti rakan sedangkan keluarganya tidak berkemampuan kerana hanya menjual nasi lemak untuk menyara kehidupan.
Menurutnya, dia juga pernah diperdaya anaknya apabila meniru tanda tangan seorang guru dengan mendakwa dirinya perlu menghadirkan diri dalam satu program di pusat bandar sedangkan dia sebenarnya pergi berseronok dengan teman lelaki yang baru dikenalinya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Katanya, sebelum itu,Nur Izatul mengikuti kelas tambahan di pekan pada hujung minggu, tetapi selepas mendapat surat peringatan kerana kerap ponteng menyebabkan saya mula mengesyaki sesuatu walaupun dinafikan gadis berkenaan.
“Sebagai seorang ibu, saya amat kecewa dengan sikapnya yang selalu ponteng sekolah akibat bercampur dengan rakan.
“Ibu mana yang tidak risau apabila anaknya tak balik... malah pernah beberapa kali orang ternampak dia pergi ke pusat bandar bersama teman lelakinya dan sebaik habis waktu kelas tambahan barulah dia pulang ke rumah, kadang kala sampai lewat malam,” katanya.
Berikutan itu, katanya, dia memohon kerjasama daripada orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Nur Izatul berada agar dapat menghubunginya di talian 014-3808084 kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jangancariakuq/Article
No comments:
Post a Comment