Saturday, June 12, 2010

Merokok nak cantik

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
2010/06/12

KUALA LUMPUR: Satu kajian mengenai gejala merokok di negara ini menemui fakta mengejutkan apabila jumlah kanak-kanak perempuan mula merokok pada usia di bawah 10 tahun didapati satu kali ganda lebih ramai berbanding kanak-kanak lelaki.

Lebih membimbangkan, kajian dilakukan Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan (NHMS ke-2) itu mendapati kanak-kanak perempuan terbabit merokok disebabkan faktor ingin cantik selain pengaruh daripada rakan sebaya dan tekanan perasaan.


Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kajian pada 2003 itu mendapati peratusan kanak-kanak perempuan merokok adalah 29 peratus berbanding lelaki sebanyak 15 peratus dan peratusan keseluruhan perokok di bawah umur 10 tahun membabitkan 16 peratus daripada keseluruhan perokok di negara ini.

“Kajian ini amat membimbangkan dan jumlahnya mungkin akan meningkat jika tiada peranan serta langkah pencegahan bersungguh-sungguh diambil semua pihak bagi menangani masalah ini,” katanya selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 peringkat Institut Perubatan Respiratori (IMR) di sini, semalam.

Berikutan itu, katanya, pelbagai pihak khususnya ibu bapa perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menghentikan tabiat buruk itu kerana penggunaan tembakau dijangka boleh mengakibatkan kematian total 250 juta remaja di seluruh dunia.


“Ramai wanita terutama remaja beranggapan merokok boleh mengurangkan berat badan berikutan iklan dan promosi yang tidak beretika. Walhal ia hanya untuk mengelirukan generasi muda untuk merokok.


“Merokok sebenarnya tidak janji kecantikan fizikal, malah bawa keburukan dan bahayakan kesihatan,”
katanya.


Beliau berkata, seperti perokok lelaki, perokok wanita turut terdedah dengan risiko barah termasuk kanser paru-paru, mulut, tekak, kerongkong, buah pinggang, pankreas dan pundi kencing. “Wanita merokok bermula sejak remaja berdepan risiko putus haid dua hingga tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya, selain masalah ketidaktentuan haid seperti pendarahan tidak normal serta haid tidak teratur,” katanya.


Menurutnya, mengatasi gejala itu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk menganjurkan kempen kesedaran bahaya merokok.


“Perhatian yang diberikan ibu bapa semata-mata tidak cukup kerana remaja banyak masa dihabiskan di luar iaitu sekolah atau bersama kawan-kawan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merokoknakcantik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...